SPECIAL ADS

22 Mac 2013

UMCEDEL: Pengundi Atas Pagar Percaya Anwar Lebih Layak Jadi PM Dari Najib


PETALING JAYA, 22 MAC: Sebuah kajian Universiti Malaya mendapati majoriti pengundi atas pagar percaya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih layak menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.
Kajian yang dijalankan dari 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013 itu mendapati 44 peratus responden yang dikategorikan pengundi atas pagar percaya Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri.
Pada masa sama hanya 31 peratus pengundi atas pagar di dalam kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu, melihat Najib sebagai lebih layak.
Seramai 41 peratus responden yang dianggap pengundi atas pagar menganggap Anwar lebih berwibawa sebagai pemimpin dalam pentadbiran kerajaan.
Pada masa sama hanya 36 peratus daripada mereka melihat Najib sebagai lebih berwibawa.
Dalam soalan sama, 45 peratus pula tidak bersetuju sekiranya Najib dianggap pemimpin berwibawa berbanding Anwar 11 peratus.
Kategori pengundi atas pagar itu merupakan 21 peratus daripada
1,409 responden yang dibanci di dalam kajian itu dan yang menjawab “tidak pasti” kepada soalan:
“Parti manakah yang dijangka menang di peringkat nasional dalam PRU-13 dan menguasai Putrajaya.”
Manakala 42 peratus yang dibanci menjangkakan Umno-BN akan memenangi PRU-13 berbanding 37 peratus untuk Pakatan Rakyat.
Profil 21 peratus golongan atas pagar tersebut didapati pengundi Cina adalah golongan tertinggi dengan 53 peratus, Melayu 37 peratus dan India 10 peratus.
Golongan berpendidikan ijazah pula mencatatkan 49 peratus dari golongan sama, pengundi bawah umur 30 tahun sebanyak 51 peratus dan kali pertama mengundi 48 peratus.
Kajian tersebut dibentangkan oleh Pengarah UMCEDEL, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dalam ‘Forum Pra Pilihan Raya: Siapa Akan Menang PRU-13?’ di Hotel Singgahsana malam tadi.
Dr Mohammad Redzuan berkata sokongan golongan tersebut boleh dianggap penting kerana mereka adalah pengundi penentu kemenangan sesuatu parti dalam PRU-13 nanti.
“Kajian kami mendapati dari 1,409 responden, masih terdapat 21 peratus golongan tidak pasti yang masih boleh direbut, ia satu jumlah besar” ujarnya.
Kajian sama juga menunjukkan jangkaan bahawa PR akan terus menang di peringkat nasional meningkat manakala kepercayaan terhadap kemenangan Umno-BN dilihat merosot.
Dalam tempoh 1-16 September 2012, 44 peratus responden menjangkakan Umon-BN akan menang, 30 peratus PR dan tidak pasti 26 peratus.
Manakala kajian 31 Mac – 15 April 2012 menunjukkan BN memperolehi 49 peratus, PR 21 peratus dan tidak pasti sebanyak 30 peratus.

Tiada ulasan: