SHAH ALAM, 21 MAC : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar New Straits Times (NST) ekoran penyiaran artikel yang mendakwa beliau memperlekeh usaha anggota keselamatan di Lahad Datu.
Nurul Izzah menyifatkan rencana yang bertajuk “Nurul Izzah hits out at police” adalah berniat jahat kerana didakwa memutarbelit ucapan ceramah beliau di Jemapoh, Negeri Sembilan pada 19 Mac lalu.
Rencana tersebut diterbitkan di dalam NST hari ini.
“Integriti kewartawanan yang bertanggungjawab adalah mercu tanda demokrasi di negara kita.
“Sedang kita melalui krisis yang mengancam keselamatan negara, saya berpendapat bahawa laporan yang tidak tepat dan menyeleweng itu harus ditarik balik.
“Saya menuntut New Straits Times memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menegaskan, isu sebenarnya yang diketengahkan di dalam ceramahnya adalah tindakan ahli-ahli politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu, Sabah.
Katanya, beliau bersependapat dengan Lt Gen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid yang menyatakan kegagalan risikan mencegah pencerobohan Lahad Datu berlaku kerana risikan difokuskan ke arah pengintipan perkembangan politik negara sejak tahun 2000.
Beliau turut mengulangi pendirian konsisten Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar, di samping kertas putih bagi mendalami krisis di Lahad Datu demi keselamatan negara.
“Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya menyokong sepenuhnya pihak keselamatan, khususnya anggota-anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pada waktu ini sedang berjuang di perbatasan mempertahankan kedaulatan negara di bumi Sabah.
“Saya tidak pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan