SPECIAL ADS

21 Mac 2013

Bertanding Di Johor, Bukan Membunuh Diri


Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
SHAH ALAM 21 Mac D– Keputusan dua tokoh politik pembangkang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bertanding di Johor bukannya dilakukan secara terburu-buru malah ia dilakukan dengan teliti dan strategi baru susulan wujudnya kecenderungan untuk menang sekali gus mampu menawan sebahagian besar kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Walaupun banyak persepsi negatif cuba ditimbulkan pihak tertentu untuk menakut-nakutkan dua tokoh terbabit boleh tewas dan menyifatkan mereka tidak menghargai pengundi kerusi semasa, namun dengan mengambil kira komposisi pengundi khususnya kaum Cina, Kit Siang dan Salahuddin yakin dapat menarik sokongan untuk memenangkan Pakatan Rakyat (PR).

“Saya fikir mereka masuk bertanding di tempat baru ada strategi terbaru, ada kecenderungan untuk menang, bukan masuk (Johor) buta saja.

“... dua tokoh itu dah buat percaturan dan kira tahap sokongan mungkin ada peluang menang, saya tak fikir mereka masuk bertanding ke sana untuk bunuh diri,” kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Sehubungan itu, Mustafa menasihatkan Umno-BN agar tidak memandang rendah kepada perkembangan politik pembangkang yang sanggup tidak mempertahankan kawasan yang dimenanginya pada pilihan raya 2008 dan bertukar kawasan baru untuk bertanding pada PRU13 akan datang.

“BN tak boleh ambil mudah tentang perkembangan ini, pembangkang tukar kawasan bertanding.
“... Umno tak boleh pandang mudah mereka ini nak bertanding di Johor,” jelasnya sambil menyifatkan pilihan raya itu sebagai masuk ke medan perang dan tindakan Kit Siang dan Salahuddin masuk ke kubu kuat BN sebagai sesuatu yang berani.

Beliau tidak menafikan tindakan dua tokoh pembangkang itu sebagai menempah maut dan tidak juga menafikan harapan untuk mereka memperoleh kemenangan itu mungkin akan menjadi kenyataan.

“Kalau Perdana Menteri bertanding dalam kubu kuat Pas pun belum tentu boleh menang.

“... begitu juga menteri Kabinet yang popular jika bertanding di kawasan yang salah pun mungkin dia akan kalah,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah hanya untuk meredakan perebutan kerusi antara PKR dan DAP, beliau tidak menafikan kemungkinan itu kerana kedua-dua parti terbabit cuba berebut pengaruh dan undi kelompok pengundi yang sama iaitu kaum Cina.

Katanya, dalam pergeseran itu, Pas juga tidak ketinggalan untuk turut serta dalam pertandingan sengit di Johor itu nanti.
“DAP dan PKR nakkan undi Cina, ada sedikit pergeseran, begitu juga Pas pun nak bertanding di sana, ada hasrat tawan Johor.

"... Pas tumpang semangkuk, kalau PR menang di Johor, Pas tidak mahu tiada wakil daripada mereka, sebab itu Pas pun nak bertanding di sana,” ulasnya.

Bagaimanapun katanya, Pas perlu memilih kawasan campuran yang mempunyai jumlah pengundi Cina yang besar jika ingin menang pada PRU13 nanti.
“Kalau DAP dan PKR sanggup beri kepada Pas, mungkin Pas boleh menang,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU13.

Pengumuman itu dibuat pada majlis sambutan ulang tahun ke-47 DAP di Skudai, Johor.

Kerusi Gelang Patah menjadi punca kepada pertikaman terbuka pemimpin-pemimpin PKR dan DAP peringkat negeri Johor bulan lalu.

Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian pula mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding dan kembali ke negeri asalnya pada April lalu.

Beliau masih mempertimbangkan tiga kawasan untuk ditandinginya iaitu Batu Pahat, Pulai dan kampung halamannya di Tanjong Piai.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian menyifatkan tindakan PR meletakkan dua tokoh besar tersebut bertanding di kerusi Parlimen Johor sebagai satu strategi politik untuk menggempur kubu kuat BN di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, keputusan menukar kawasan bertanding itu bukan muktamad lagi dan sebarang kemungkinan boleh berlaku pada saat akhir sehingga hari penamaan calon nanti.

“Lim Kit Siang dan Salahuddin Ayub pada masa ini mahu bertanding di Johor, tidak mustahil pada saat akhir mereka boleh tukar fikiran sebab kita tahu Gelang Patah kawasan kelabu buat PR.

"... saya percaya bertanding di luar kawasan mereka (Ipoh Timur dan Kubang Kerian) sebagai strategi politik pembangkang untuk gegar kubu kuat BN di Johor,” katanya.

Bagaimanapun katanya, PR akan mendapat peluang yang cerah di Johor sekiranya mereka meletakkan calon yang menarik dan berwibawa walaupun ia dilihat sebagai percubaan baik untuk menggoyah kubu kuat BN yang selama ini menjadi “fixed deposit” kepada mereka.

“Mereka tak akan letak di tempat yang pasti kalah, tempat seperti Gelang Patah adalah kawasan kelabu buat PR, tapi PR berharap sokongan rakyat akan berubah.
“PR merasakan pilihan raya kali ini adalah peluang baik kerana ada perubahan daripada segi demografi pengundi dan sokongan rakyat khususnya kaum Cina.

“... kita tengok angin perubahan itu walau Johor kawasan kelabu kepada PR, namun jika mereka letak calon yang menarik dan wibawa, mungkin mereka akan menang di sana.

“Sebab itu, PR tawar dua tokoh ini, PKR pun cari tokoh besar yang boleh lonjakkan perhatian pengundi,” katanya.

Meskipun umum mengetahui BN terlalu bergantung kepada pengundi Melayu dan bukan Melayu, namun kehadiran pengundi baru pertama kali dan pengundi orang muda mungkin akan mengubah keputusan pilihan raya nanti.

Bagaimanapun dua golongan pengundi itu dakwanya masih mempunyai sentimen memihak kepada BN tetapi mereka juga mempunyai kecenderungan sedikit kepada PR.

Dalam pada itu, sekiranya Kit Siang dan Salahuddin tewas dalam percaturan tersebut, ia akan memberi tamparan hebat kepada PR sekali gus pembangkang akan kehilangan dua tokoh besar itu dalam arena politik buat sementara waktu.

Sehubungan itu, katanya PR perlu lebih berhati-hati dalam meletakkan calonnya di Parlimen Johor kerana hanya mereka yang benar-benar berwibawa dan dikenali ramai.

PR tidak mempunyai kekuatan jentera di Johor, mereka perlu memastikan muka-muka baru yang akan ditampilkan nanti sudah dikenali rakyat setempat agar mudah kerja-kerja berkempen dilakukan sekali gus memberi peluang yang cerah untuk menang pada PRU13 nanti.
“Johor bukan kawasan pilihan PR, jentera PR tak kuat di Johor, tidak seperti di tempat-tempat lain.
“....Pilihan Raya Kecil Tenang banyak beri pengajaran, calonnya Cikgu Normala dapat sokongan Cina hampir 80 peratus ketika itu, namun beliau tewas kerana pengundi di kawasan Felda masih beri sokongan kepada BN.

“Jika calon dikenali dan ada nama diletakkan bertanding, mungkin mudah sikit untuk dibawa kempen, jika muka baru dan tidak dikenali agak sukar jentera PR untuk berkempen,” katanya sambil menyifatkan PRK Tenang membuktikan PR berpeluang menembusi kubu kuat BN sekali gus menjadi laluan sukar buat Umno khususnya yang bergantung kepada undi Melayu.

Tiada ulasan: