SPECIAL ADS

18 Mac 2013

Had perbelanjaan PRU-13: RM100,000 bagi DUN, RM200,000 bagi kerusi parlimen


Had perbelanjaan PRU-13: RM100,000 bagi DUN, RM200,000 bagi kerusi parlimen
Bakal calon perlu berbelanja mengikut had perbelanjaan sedia ada bagi membiayai kempen politik mereka dalam Pilihan Raya Umum-13 yang akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan ia tidak akan menaikkan had itu.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Omar Wan Ahmad, berkata had RM100,000 bagi mereka yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan RM200,000 bagi calon yang bertanding bagi kerusi parlimen dianggap mencukupi.
Tambahnya, Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tidak membawa isu itu atau tidak pula meminta supaya had berkenaan dinaikkan.
"Memandangkan tiada siapa, sama ada anggota jawatankuasa Barisan Nasional mahupun pembangkang membangkitkan isu itu, had akan kekal sama bagi pilihan raya kali ini," katanya.
"SPR percaya bahawa jumlah itu adalah lebih daripada mencukupi".
"Kami tidak mahu melihat pembaziran," katanya.
Selain percetakan, Datuk Wan Omar berkata calon-calon kini boleh menggunakan cara lain sepertiFacebook dan Twitter bagi memastikan mesej mereka disampaikan secara menyeluruh kepada pengundi.
Beliau juga berkata jumlah deposit yang perlu dibayar calon sebanyak RM10,000 bagi calon Parlimen dan RM5,000 bagi seorang calon kerusi DUN, kekal sama.
Tambahnya, perlu bagi SPR mendapatkan deposit daripada calon bagi memastikan hanya mereka yang serius akan bertanding dalam pilihan raya.
"Calon-calon juga perlu memperuntukkan RM5,000 bagi membersihkan poster dan kain rentang selepas berakhirnya pilihan raya nanti," kata beliau lagi.
Oleh: Kerajaan Rakyat

Tiada ulasan: