SPECIAL ADS

19 Mac 2013

ISMA nafi dapat sumber Dana dari UMNO

KUALA LUMPUR 20 Mac : Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menafikan pertubuhan itu mendapat sumbangan kewangan dari Umno tetapi tidak menolak menerima bantuan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Menerima bantuan kewangan dari Jakim dan sebagainya sebagai sebuah NGO bukan seerti dengan suapan Umno," kata Dr Nizam Zakaria, pemimpin dan aktivis Isma.

Beliau berkata demikian ketika membuat ulasan kepada tulisan Mohd Sayuti Omar dan disiarkan Sayuti dalam tulisan terbaru dalam blognya, msomelayu.blogspot.com.

Dalam ulasan itu, Nizam mengaku "saya seorang ahli Isma dan terpanggil untuk menjawab apa yang penulis lakarkan dalam entry ini."

Isma sebelum ini memaklumkan akan bertanding dalam 20 kerusi dalam pilihan raya ini atas tiket Berjasa, sebuah parti serpihan PAS yang sebelum ini sudah senyap kerana semua pimpinannya sudah menyertai PAS semula.


Presidennya, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman mengumumkan bahawa Isma bercadang untuk menghantar calon-calonnya bertanding di 20 buah kawasan Parlimen dan DUN dalam PRU13 nanti.

Dalam sidang media tersebut, Abdullah mengumumkan kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti untuk calon-calon Isma tandingi iaitu Padang Serai (P017), Tapah (P072), Wangsa Maju (P116), Selayang (P097), Subang (P107), Puchong (P103), Kapar (P109), Seremban (P128), Tanjung Piai (P165), Derga (N11) dan Gurun (N22).

Berdasarkan PRU12 yang lepas, kerusi-kerusi di atas merupakan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu namun ditandingi dan dimenangi oleh calon-calon bukan Melayu.

Isma dipercayai akan memecahkan undi di kawasan-kawasan berkenaan untuk mereka yang taksub dengan kempen nasionalis Melayu oleh Umno sekarang ini.


Tujuan penglibatan Isma dalam PRU13 antara lain adalah untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum berteraskan lunas perlembagaan yang saling menghormati hak satu sama lain berterusan.
Tujuan-tujuan lain ialah:
  • untuk memastikan teras kenegaraan yang berpaksikan Islam, Melayu dan Raja terus dihormati
  • Terlibat sama dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara tidak terjejas walau apapun keputusan PRU13
  • memberi sumbangan dalam memastikan masa depan politik Malaysia yang lebih Islamik
  • membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama bangsa dan negara.
"Bagi memastikan penglibatan lebih bermakna, Isma telah mengarahkan semua ahli supaya berada dalam keadaan siap siaga dan bilik-bilik gerakan pilihan raya dibuka di semua kawasan-kawasan yang akan ditandingi.
"Umat Islam diharap dapat memberi sokongan yang padu kepada usaha yang murni ini dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang akan dikemukakan," katanya lagi.

Tiada ulasan: