Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
SHAH ALAM - Walaupun jumlah kematian pengikut Jamalul Kiram III meningkat akibat tindakan pasukan keselamatan Malaysia, keluarga individu yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu  mengarahkan 'askarnya' supaya bertahan dan tidak menyerah kalah.

Anak kepada Jamalul Kiram, Jacel Kiram memberitahu  hari ini yang bapa saudaranya, Agbimuddin Kiram dan para pengikutnya tidak akan meninggalkan Sabah walaupun serangan bertali arus datang dari pasukan keselamatan Malaysia.

Awal minggu ini pihaknya mengumumkan bersedia untuk mengadakan gencatan senjata.

Beliau sebaliknya merayu kepada baki anggota pemberontak supaya kekal setia bersama Agbimuddin dan mengingatkan kehadiran mereka ke Lahad Datu semata-mata untuk mengambil kembali kampung halaman mereka.

“Sila kekal di sana. Ini adalah satu penghormatan buat kehidupan kita semua,” katanya dipetik ABN CBS News.

“Mereka mahu tinggal di sana. Ia merupakan kampung halaman mereka sendiri dan mereka mahu tinggal di sana secara aman,” katanya lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan seorang lagi lelaki bersenjata Sulu ditembak mati pagi tadi.

Ini membawa jumlah kematian pengikut Kiram kepada 53 orang.

Keluarga Kiram bercadang untuk melakukan gencatan senjata dan berjanji tentera mereka tidak akan menyerang ketika berhadapan dengan pihak berkuasa Malaysia.

Malaysia turut menolak cadangan gencatan senjata Khamis lalu dan mengarahkan pasukan  keselamatan supaya terus membedil musuh.