SPECIAL ADS

7 Mac 2013

Kerajaan Negeri Sedia Ambil Alih Syabas Terlebih Dahulu


air-syabas_MBa
SHAH ALAM 7 MAC : Kerajaan Negeri bersedia mengambilalih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terlebih dahulu sebelum meneruskan mengambil alih syarikat konsesi yang lain.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan tersebut dilakukan kerana Syabas merupakan pengedar tunggal bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Demi kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan untuk terlebih dahulu mengambil alih Syabas yang merupakan pengedar tunggal bekalan air bersih di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, Kerajaan Negeri meminta anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk mempertimbangkan pengambilalihan berkenaan.
Menurut Abdul Khalid, KDEB akan menjadi pemegang saham terbesar jika berjaya mengambil alih pengurusan syarikat konsesi yang lain iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).
Sehingga kini, KDEB hanya memiliki 30 peratus pegangan saham di dalam Syabas dan ini terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarahnya sahaja.
Abdul Khalid berkata, pengambilalihan Puncak Niaga Sdn Bhd bergantung kepada persetujuan KDEB dengan pemegang saham terbesar sekarang, Puncak Niaga Holdings Berhad.
Dalam pada itu, KDEB memulakan perbincangan dengan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) mengenai pelupusan aset air dan liabiliti.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan tawaran RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi untuk ambilalih operasi mereka.
Keempat-empat syarikat konsesi tersebut memberikan respon positif terhadap tawaran yang dikemukakan itu.