SPECIAL ADS

18 Mac 2013

Kes NFC: Saya tak pernah takut Shahrizat & Wanita Umno – Rafizi


KUALA LUMPUR 18 MAC: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli bertegas tidak sesekali takut berhadapan Shahrizat Jalil dalam kes skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menuduh serangan Rafizi ke atasnya kerana takut dengan Wanita BN.
Rafizi“Saya tidak takut dengan makcik-makcik Wanita Umno. Tapi masa kecik-kecik saya memang takut dengan lembu lembu, takut kena tanduk! Mungkin itu maksud Sahrizat kot!” sinis Rafizi di twitter.
Ketua Wanita Umno itu dilaporkan tidak bersetuju dengan tindakan Rafizi yang menyerang Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Noh Omar.
Shahrizat mendakwa, Rafizi menuduh kedua-dua mereka menipu kepada Parlimen pada 2011 tentang pinjaman kerajaan berjumlah RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp).
“Anak guam kamu menyerang saya selaku Ketua Wanita BN kerana dia takut dengan kekuatan Wanita BN,” kata Shahrizat dengan nada keras kepada peguam Rafizi, Ranjit Singh di sini.
“Kamu menyaman anak guam saya atas kata-katanya dalam satu kenyataan media. Baca ini, adakah kamu bersetuju anak guam saya akan mengejar Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” tanya Ranjit dipetik The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian pada sesi soal balas dalam perbicaraan kes saman fitnah Shahrizat berjumlah RM100 juta ke atas Rafizi dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.
Ranjit dipetik berkata, kenyataan media Rafizi bertujuan untuk membidas Najib dan Noh yang memberitahu Parlimen pada Oktober dan November 2011 bahawa pinjaman kerajaan RM250 juta tidak sepenuhnya disalurkan kepada NFCorp.
Katanya, menurut Rafizi, penyata kewangan NFCorp yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat tersebut mengeluarkan wang sebanyak RM250 juta hingga tempoh 31 Mac 2009.
Apabila disoal lagi, Shahrizat menuduh Rafizi berniat jahat dan bertindak atas tujuan tidak baik, menyebabkan Ranjit terpaksa membalas: “Awak betul-betul perlu kawal diri sendiri.”
Malah Shahrizat berkata, beliau tidak sedar tentang dua kondominium yang dibeli menggunakan dana NFCorp.
Shahrizat-Abdul-Jalil-NFCNFCorp dimiliki suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak pasangan tersebut.
Rafizi sebelum ini menegaskan, walaupun telah berulangkali menimbulkan persoalan konflik kepentingan dalam penganugerahan projek NFC kepada syarikat Mohamad Salleh semasa Shahrizat masih lagi dalam Kabinet, sehingga kini hanya pengerusi NFCorp yang didakwa di mahkamah atas salahlaku.
Pada 12 Mei tahun lalu, Mohamad Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta dalam dana NFCorp menerusi pembelian dua unit kondominium.
Rafizi antara yang lantang dalam pendedahan skandal tersebut telah didakwa bersama bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989 kerana mendedahkan dokumen perbankan melibatkan NFCorp.
Kedua-dua mereka boleh dijatuhi hukuman maksimum RM3 juta atau dipenjara tiga tahun jika didapati bersalah. – NS

Tiada ulasan: