SPECIAL ADS

6 Mac 2013

Pendatang Sabah 800,000 Orang & Keselamatan Negara Tiada Kompromomi


KUALA LUMPUR: Jika kesemua pendatang Filipina yang berada di Sabah yang dikhabarkan seramai 800,000 orang itu dikumpulkan setempat, mereka memenuhi kawasan seluas negeri Kedah.

Ini kerana keluasan negeri Kedah ialah 9,500 km persegi, lebih sedikit sahaja dari 9,302.33 persegi.

Demikian ulasan blogger Oh! Rakyat,  berikutnya seperti di bawah.

JIKA SEMUA PENDATANG FILIPINA DI SABAH ITU DIKUMPULKAN SETEMPAT, MEREKA BOLEH MEMENUHI KELUASAN NEGERI KEDAH

Berdasarkan census penduduk Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Satistik pada tahun 2010, jumlah penduduk ialah 28.3 juta. Peratus bukan warga negara ialah 8.2%, iaitu 2.3206 juta. Dikhabarkan terdapat seramai 800,000 orang pendatang Filipina di Sabah.
Kepadatan penduduk Malaysia ialah 86 orang bagi satu kilometer persegi. Keluasan ini termasuk sungai, tasik, hutan, bukit gunung dan lain-lain yang diperlukan untuk kehidupan manusia. Malaysia memiliki banyak kelebihan tersebut. Sudah tentu di kawasan maju kepadatan jauh lebih tinggi. Misalnya kepadatan penduduk Jepun ialah 349.66/km persegi.


Okay, kita gunakan kepadatan penduduk Malaysia sahaja untuk mengetahui berapa keluasan kawasan yang akan dipenuhi oleh pendatang (bukan warga negara) seramai 2.3206 juta itu.

Pengiraannya begini:
86 orang menduduki 1 km persegi.
800,000 orang menduduki = (1/86) x 800,000 = 9302.33 km persegi.
2,320,600 orang menduduki = (1/86) x 2,320,600 = 26983.72 km persegi.
Hasil pengiraan berdasarkan kepadatan penduduk Malaysia, inferen yang didapati adalah seperti berikut:
Jika kesemua pendatang Filipina itu dikumpulkan setempat, mereka memenuhi kawasan seluas negeri Kedah. Ini kerana keluasan negeri Kedah ialah 9,500 km persegi, lebih sedikit sahaja dari 9,302.33 persegi.
Jika kesemua pendatang di Malaysia dikumpulkan setempat, mereka memenuhi kawasan hampir seluas Negeri Sembilan (6686 km persegi) + Perak (21035 km persegi) = 27721 km persegi, lebih sedikit dari 26,983.72 km persegi.
Walau bagaimanapun jika semua pendatang itu ditempatkan di bandar, yang kepadatan penduduknya lebih tinggi, mereka boleh memenuhi seluruh Kuala Lumpur, termasuk Gombak. Ini kerana jumlah penduduk bagi kedua kawasan tersebut adalah:

Kuala Lumpur (1,674,621) + Gombak (682,226) = 2,356,847 - Lebih sedikit sahaja dari bilangan pendatang, iaitu 2,320,600 orang.

Bagi yang tidak berapa faham statistik, fikir begini sahajalah:

Bilangan pendatang di Malaysia sama dengan bilangan penduduk Kuala Lumpur dan Gombak. Ini tidak termasuk PATI.

Pada mulanya pendatang ini dialu-alukan bagi memenuhi permintaan buruh di sektor perladangan, binaan dan sebagai pembantu rumah. Tetapi kini pendatang juga giat sebagai jurujual, tukang urut, peniaga dan apa-apa sahaja di bawah bulan dan matahari!
Kini kita menghadapai implikasi kehadiran pendatang yang tidak terkawal itu.

Kalau dulu implikasinya dari sosial, kesihatan dan jenayah terhadap individu (samseng), tetapi kini telah berubah kepada jenayah terhadap negara (pengganas).

Mungkin ada yang cuba mempertahankan dasar mengambilan warga asing sebagai sumber manusia bagi memenuhi permintaan sektor swasta. Ini kerana kononnya penduduk Malaysia enggan bekerja berat. Ini adalah alasan yang dangkal.

Sudah tentu skim pulangan yang rendah nilainya tidak dapat diterima oleh warga tempatan yang perlu memenuhi kos sara hidup yang tinggi. Berbeza dengan pendatang yang menghantar upah mereka ke negara asal yang kos sara hidup rendah, pekerja tempatan harus menanggung kehidupan keluarga mereka di sini, dengan mahal.

Ternyata kita memerlukan satu dasar baru mengenai sumber manusia yang menyeluruh, yang memastikan kedatangan pendatang tanpa diundang dan tanpa izin dapat dibendung dengan berkesan; dan sekaligus menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat dan kedaulatan Malaysia.

Ternyata penggubal dasar/undang-undang (law-makers) yang sedang memegang tampuk kerajaan sekarang gagal, bukan hanya dalam menangani masalah pendatang tanpa izin; pemegang kuasa juga gagal dalam dalam perancangan asas sumber manusianya.



Memang benar bahawa mereka yang menjayakan projek pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing adalah dalang sebenar kepada keganasan dan ancaman keselamatan di Sabah yang berlaku sekarang.

“Sebenarnya, mereka ini jugalah yang membuka pintu negara untuk diceroboh, ditawan dan diserang oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Krisis pencerobohan di Lahad Datu memberi pengajaran berharga bahawa aspek keselamatan negara terutama di sempadan dan perairan negara perlu dipertingkatkan.

Tidak ada mana-mana pihak yang boleh bersikap sambil lewa dengan membiarkan pengganas sewenang-wenanganya menjajah negara ini tanpa sekatan.

Persoalan utama yang sedang berlegar di kalangan rakyat negara ini adalah sejauh manakah tahap keselamatan negara khususnya di sempadan atau perairan negara?

Bagaimana pengganas tersebut dengan mudah meloloskan diri dari kawalan keselamatan negara sehingga mampu mendarat dan berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah?

Dalam keadaan nyawa dan keselamatan rakyat terutama warga Sabah sedang terancam dengan beberapa deretan peristiwa pembunuhan, perkara yang lebih menggemparkan adalah dengan pendedahan mengenai projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing di negeri Sabah.

Ia didedahkan oleh beberapa indiviu yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta beberapa agensi kerajaan lain kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai projek tersebut.

Skandal ini melibatkan berpuluh ribu kad pengenalan yang dihasilkan sekitar tahun 1980-an dahulu dan lebih menggemparkan adalah penglibatan beberapa pemimpin tertinggi negara.

Projek ini telah berlalu beberapa tahun yang lampau dan mereka yang mendapat kad pengenalan tersebut telah bertebaran di merata tempat di negara ini.

Kegusaran rakyat semakin bertambah apabila memikirkan andainya ada di antara pengganas tersebut memiliki kad pengenalan yang sah dan bila-bila masa mereka boleh keluar masuk negara ini tanpa ditahan oleh penguasa.

Justeru, memang benar bahawa mereka yang menjayakan projek pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing adalah dalang sebenar kepada keganasan dan ancaman keselamatan di Sabah yang berlaku sekarang.

Sebenarnya, mereka ini jugalah yang membuka pintu negara untuk diceroboh, ditawan dan diserang oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu meneruskan siasatan terhadap projek tersebut sehingga selesai.

Kemuncaknya, kerajaan perlu bersikap tegas dengan hukuman setimpal terhadap mereka yang terlibat termasuk terhadap bekas pemimpin-pemimpin negara.

Dalam soal keselamatan negara, tidak ada kompromi terhadap mereka yang sanggup menjual kedaulatan negara ini.