SPECIAL ADS

20 Mac 2013

Politik Samseng Umno : Polis Jangan Tutup Mata


KUALA LUMPUR 21 Mac : Dewan Muslimat PAS Pusat melahirkan kebimbangan dengan suasana politik samseng yang semakin menular muktahir ini, lebih-lebih lagi ketika lebih ramai calon wanita dari sayap itu diketengahkan pada Pilihan raya Umum ke-13 akan datang.


Kebimbangan tersebut bertitik tolak dari beberapa siri keganasan dan tindakan samseng sesetengah pihak ke atas majlis-majlis anjuran Pakatan Rakyat, khususnya.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, lebih membimbangkan apabila pihak berkuasa seolah-olah menutup mata dalam menangani tindakan samseng tersebut, malah mengambil tindakan sebaliknya jika membabitkan kumpulan Pakatan Rakyat.

"Kita tahu, banyak program Pakatan Rakyat yang cuba diganggu oleh kumpulan yang pro-Umno, namun selalunya pihak polis tidak bertindak proaktif bagi menghalang mereka, sebaliknya meminta pihak kita untuk menghentikan program penerangan konon atas tujuan keselamatan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sambil mengulangi kebimbangan terhadap keselamatan calon wanita, Dr. Mariah mengharapkan pihak berkuasa memberikan jaminan tentang tahap keselamatan semua pihak, lebih-lebih lagi ketika kempen pilihan raya yang selalunya hangat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi, memberi amaran kepada mana-mana provokator agar tidak cuba mengganggu program dan siri penerangan yang dianjurkan Pakatan Rakyat.

Selain mengingatkan akan mengheret mereka ke muka pengadilan, Athirah berkata pihaknya bersedia untuk mengumpul dan mengemukakan bukti kukuh bagi tujuan tersebut.

"Memang kita bimbang dengan budaya samseng itu, tapi kami juga ingatkan bahawa kami memerhatikan anda. Jangan sesekali cuba untuk mengganggu kami, jika tidak kami tidak akan berkompromi dalam hal tersebut," kata beliau.

Tambah Athirah, Pakatan Rakyat terpaksa mengadakan siri penerangan kepada rakyat memandangkan tiada sebarang akses secara adil kepada media diberikan kepada gabungan parti itu.

Sebaliknya, beliau beranggapan Barisan Nasional tidak perlu mengadakan siri penerangan memandangkan mereka mempunyai akses 24 jam ke atas media arus perdana.

"Untuk apa mereka berceramah, sedangkan mereka mempunyai akses kepada media? Tidak lain tidak bukan, mereka sengaja mengganggu majlis kita bagi tujuan menghalang kita menyampaikan maklumat kepada rakyat, khususnya di kawasan kampung," tegas beliau.

Dalam pada itu, bagi memastikan keselamatan calon-calon wanita berada di dalam kondisi yang lebih baik, Muslimat PAS terpaksa melangkah lebih proaktif melalui penubuhan Bridged Muslimat, yang mengkhususkan kepada aspek keselamatan.

"Insya Allah, setiap calon wanita akan diiringi dengan bridged ini yang terdiri daripada anak-anak muda yang mempunyai latar belakang pelbagai berkaitan seni mempertahankan diri.  Namun, dalam masa sama kami juga berharap pihak polis turut memainkan peranan yang lebih profesional demi kepentingan rakyat, dan bukannya hanya tertumpu kepada pihak tertentu semata-mata," tegas Athirah lagi.

Tiada ulasan: