SPECIAL ADS

5 Mac 2013

Yasin diugut bunuh



(Video klip Reformasi Yasin dalam Youtube)

KUALA LUMPUR: Ekoran lagu 'Reformasi' yang dibuatnya,  penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman diugut dengan ancaman bunuh.

Ugutan itu dimasukkan ke dalam ruangan komen di bawah lagu itu dalam Youtube.

Ugutan berbunyi “Yassin ni patut dibunuh jer.. “ dan “Aku kalau jumpa si Yassin ni kat luar comfirmaku pijak-pijak kepala dia sampai lumat” didapati dibuat pada awal malam semalam selepas kira-kira dua minggu video itu dimuat naik.

Namun semakan Harakahdaily pagi ini, komen itu telah dibuang dari laman itu.

Yasin yang terkilan dengan komen itu menyifatkan ia sebagai melampau kerana berbeza pendapat dan pandangan politik tidak perlu samnpai mengugut pihak yang lain.
“Perselisihan pendapat adalah perkara biasa dan sebelum ini saya pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.

“Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya ugutan yang dibuat itu, namun saya tidak akan berdiam diri jika ia berterusan selepas ini,” katanya sebagaimana yang dilaporkan  Sinar Harian semalam.

Justeru itu, Yasin memberi amaran kepada pengunjung laman sosial agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berunsur ugutan dan fitnah terhadapnya sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.

“Sekiranya saya silap dalam penulisan, kita boleh dialog, boleh mengkritik dengan platform yang betul. Bukan dengan ugut-mengugut begini.

“Saya harap individu terbabit berhentilah daripada melakukan perkara begini kepada sesiapa pun. Kebebasan bersuara perlu digunakan untuk kebaikan bukan untuk mengugut dan mencaci orang lain,” katanya kesal dengan perkara itu.

Yasin yang kini menjadi duta Pakatan Rakyat mempersembahkan lagu 'Menuju Putrajaya' dan 'Reformasi' dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 baru-baru ini.

Ekoran itu kedua-dua lagu itu menjadi siulan anak mud apejuang reformasi dan Pakatan Rakyat.