KUALA LUMPUR 28 OGOS: Pelantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai penasihat Perdana Menteri untuk menguruskan hal ehwal wanita sebagai ganjaran kepada rasuah.
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Rodziah Ismail berkata, tindakan Perdana Menteri itu jelas membuktikan beliau tidak berminat menghapuskan rasuah seperti dilaungkan melalui Program Transformasi Negara (GTP).
“Shahrizat tercemar dengan ‘skandal lembu kondo’ dengan menggelapkan wang rakyat sebanyak RM250 juta yang mana beliau sendiri mengambil bahagian dalam mesyuarat jemaah menteri yang meluluskan projek tersebut.
“Malah pendedahkan skandal NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan) itu juga memaksa Shahrizat meletakkan jawatan Menteri dan menamatkan kedudukannya sebagai Senator Dewan Negara,” ujarnya dalam kenyataan.
Ketua Wanita KEADILAN Selangor itu menambah, rakyat berhak mendapat kepimpinan wanita yang bersih dari rasuah dan boleh menjadi tauladan.
“Slogan lunak Najib untuk basmi rasuah hanya helah untuk memperdaya rakyat dan RM250 juta wang rakyat yang disonglap itu pula nampaknya tiada harapan akan dikembalikan kepada rakyat.
“Justeru, kita mendesak Najib menarik kembali pelantikan Shahrizat ini kerana rakyat menolak pemimpin yang terlibat dengan rasuah seperti beliau,” kata Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga.
Semalam, media melaporkan Shahrizat dijangka akan dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri dalam isu berkaitan wanita dan jawatan itu bertaraf menteri.
Walaupun terpalit dengan skandal rasuah, Shahrizat tetap mahu mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan Umno hujung tahun ini.
Beliau juga pernah dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri berhubung Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial pada 2008, walaupun tewas dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.
Shahrizat kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2009 selepas memenangi jawatan Ketua Wanita setelah menewaskan penyandang jawatan berkenaan, Tan Sri Rafidah Aziz.
Beliau kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2009, namun meletakkan jawatan pada April 2012, selepas ahli keluarganya terbabit dengan skandal kontroversi NFC dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13. KD
Oleh Mohd Arif Juhani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan