KUALA LUMPUR 13 Ogos : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terang-terangan mendedahkan kelemahan polis apabila mendakwa wujudnya beratus ribu orang kanan dan pengikut tegar penjenayah-penjenayah yang dibebaskan, kata Datuk Mahfuz Omar.
"Kenyataan Zahid terang-terangan dan tanpa berselindung lagi mendedahkan kelemahan pihak polis di bawah kementeriannya sendiri apabila mendedahkan berleluasanya 266,000 penjenayah tegar.
"Dengan mendedahkan kelemahan polis seperti itu, ia dengan sendirinya menjadikan kesemua penjenayah lebih berani dan keselamatan rakyat semakin terancam," kata beliau.
Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian, Zahid berkata: "Faktor utama peningkatan jenayah berat adalah disebabkan penjenayah yang dulu ditahan di Penjara Simpang Renggam dibebaskan berikutan penghapusan Ordinan Darurat (EO).
"Faktor kedua, mereka yang dilepaskan dari tahanan itu mempunyai pengikut tegar. Mengikut perkiraan Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada 2,600 orang yang dilepaskan, mereka mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang kanan ertinya, telah ada 26,000 bersama dengan masyarakat. Orang kanan ini juga mempunyai orang kanan mereka sekurang-kurangnya 10 orang, ertinya ada 266,000 orang".
Zahid juga cuba menyalahkan pembangkang yang sebelum ini memperjuangkan penghapusan Ordinan Darurat (EO).
Beliau menyifatkan tuntutan penghapusan EO itu adalah taktik pembangkang.
"Seolah-olah cadangan itu baik tetapi akhirnya cadangan tersebut memerangkap kerajaan sendiri," dakwa Menteri Dalam Negeri.
Bagi Mahfuz, EO sebenarnya menunjukkan kelemahan cara dan prosedur siasatan polis sehingga terpaksa menggunakan tindakan penahanan tanpa bicara untuk memenjarakan penjenayah.
"Perkara itu diakui oleh Ketua Pemuda Umno (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) sendiri apabila beliau menyatakan tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha meningkatkan kemampuan dan kecekapan anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kadar jenayah dan bukannya memperkenalkan satu undang-undang baru menggantikan EO yang dikatakan akan mempunyai eleman penahanan tanpa bicara," katanya.
Mahfuz berkata, Menteri Belia dan Sukan itu dengan sendirinya mendedahkan kelemahan pihak polis apabila menekankan supaya ditingkatkan kemampuan dan kecekapan mereka.
"Ketika EO diakui lemah oleh tokoh kerajaan sendiri, Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan ketidakmampuan polis menangani kewujudan ratusan ribu pengikut tegar dan orang kanan, ia sudah jadi dua kali lemah. Menteri dan polis perlu bertanggungjawab atas kesalahan itu," katanya.
Mahfuz juga kesal terhadap sikap pihak polis yang selama ni "buat tak peduli" terhadap pendedahan tentang pegawai-pegawai tinggi polis yang mempunyai hubungan dengan ketua-ketua kongsi gelap termasuk pendedahan pegawai-pegawai polis bahawa ketua-ketua kongsi gelap boleh tentukan kenaikan pangkat polis.
"Kaitan pegawai tertinggi polis dengan ketua-ketua penjenayah didedahkan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Ramli Yusoff dan beberapa pegawai polis yang lain sejak 2007 lagi tetapi bukan sahaja tidak ada tindakan, pihak yang mendedahkan pula yang dimangsakan dengan menggunakan kuasa Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Bukan setakat itu sahaja kaitan dengan penjenayah, kata Mahfuz, malah akhbar harian pro-Barisan Nasional sendiri pernah mendedahkan kegiatan anggota polis yang menyewakan senjata api kepada penjenayah untuk melakukan rompakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan