SPECIAL ADS

26 Ogos 2013

Juham akan pantau kes Altantuya secara dekat

TEMERLOH 26 Ogos : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Rayuan semalam sebagai episod malang dalam sejarah perundangan negara.

Ketua DPPM Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ini berikutan kes jenayah berprofil tinggi itu menjadi perhatian antarabangsa dan boleh menjadi bahan ketawa akibat kecacatan kes dan menimbulkan tanya.

Katanya, serentak dengan itu DPPM melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi (Juham) akan terus memantau kes ini termasuk menggalakkan keluarga si mati sendiri membawa kes pembunuhan tersebut ke mahkamah.

“Ada dua kesan selepas keputusan kes ini iaitu pertama imej buruk terhadap Malaysia pada kaca mata antarabangsa kerana melibatkan warga Monggolia dan ada kaitan dengan Peranchis.

“Kedua, andaian masyarakat iaitu jika jenayah berprofil tinggipun tertuduh yang sudah sabit kesalahan boleh dilepaskan hakim kerana penyiasatan dan pendakwaan banyak kecacatan, maka tidak mustahil jenayah akan terus berleluasa kerana penjenayah tak takut lagi,” katanya.

Tambahnya andaian yang sedang diperkatakan secara sinis oleh warga siber pada ketika ini ialah ‘Altantuya masuk ke dalam hutan dan meletupkan dirinya sendiri dengan bom C4’ kerana tiada pembunuhnya dan tidak dapat dijejak orang yang mengarahkan pembunuhan tersebut.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka ‘Eidulfitri Pusat Komuniti Parlimen Temerloh di sini petang ini.

Kira-kira 7,000 penduduk daripada pelbagai bangsa hadir memeriahkan majlis anjuran PAS tersebut.  

Kelmarin tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusannya, berkata berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan mereka termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri serta kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan Azilah berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam, Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan Azilah dan Sirul daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Nasrudin berkata, sebelum ini kes semua petisyen pilihan raya yang ditolak mentah-mentah oleh mahkamah hanya kerana masalah teknikal, turut memburukkan institusi kehakiman negara di mata rakyat.

“Rakyat membawa kes (petisyen) sebesar itu untuk perbicaraan dan mendapatkan keadilan malangnya kes sebesar itu hanya ditolak oleh kesilapan teknikal, jadi sudah tentulah membuatkan rakyat tidak puas hati,” ujarnya.

Oleh: Khairil Abdul Rahim

Tiada ulasan: