SPECIAL ADS

24 Ogos 2013

AES: BN ‘jilat' semula cadangan Pakatan

PETALING JAYA 24 Ogos : Barisan Nasional (BN) kini terpaksa menjilat kembali pelbagai alasan mereka ketika menolak hujah Pakatan Rakyat yang menentang kuat langkah menyerahkan pelaksanaan operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kepada pihak swasta di peringkat awal lagi.

Sekiranya, BN mengamalkan sikap terbuka untuk mendengar pendapat pemimpin Pakatan Rakyat dan masyarakat umum sebelum AES dilaksanakan, isu pengambilalihan operasi AES pasti tidak akan timbul sekaligus menyelamatkan wang rakyat.

Langkah pengambilalihan operasi AES seperti yang dinyatakan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini, pasti akan melibatkan pembayaran pampasan yang tidak sedikit kepada dua syarikat pengendali AES swasta.

Menurut Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerajaan sepatutnya menjalankan kajian dari semua aspek termasuk pandangan dari Pakatan Rakyat dan masyarakat awam dengan lebih mendalam sebelum melaksanakan sesuatu termasuk isu perlaksanaan AES ini.

“Salah satu sebab kita marah AES ini, ia satu sistem swasta yang mana mereka akan mengaut keuntungannya dan orang mempersoalkan sama ada akan memberi kesan lebih besar kepada pengguna jalan raya dan sekarang pengambilalihan pula sudah tentu melibatkan wang rakyat.

“Itu antara hujah kita dari awal lagi ketika AES mula-mula hendak dilaksanakan, kita tanya kenapa AES ini perlu diswastakan kalau betul perlu nak buat.

“Kita bukan menentang isu keselamatan jalan raya dan sebagainya tetapi nampaknya ia balik kepada cadangan yang kita suarakan masa mula-mula di peringkat awal perlaksanaan AES dahulu tetapi kalau dari peringkat awal perlaksanaan dengan mengambil sedikit pandangan kita suarakan, tak perlu berhadapan dengan masalah ini,” kata Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor itu.

Terdahulu, di peringkat awal ketika operasi AES hendak dilaksanakan pada tahun lalu, selain tidak bersetuju perlaksanaan AES yang dibuat secara tergesa-gesa, Pakatan Rakyat dan majoriti pengguna jalanraya juga mempersoalkan langkah memberi konsesi operasi AES kepada dua buah syarikat pengendali swasta.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tetap berdegil dengan meneruskan perlaksanaan operasi AES dengan dikendalikan syarikat swasta terlibat.

Bagaimanapun selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

Tiada ulasan: