SPECIAL ADS

26 Ogos 2013

Mufti sokong kerajaan Kelantan laksana hudud

Kota Bharu 26 Ogos : Mufti Kelantan menyokong sebarang usaha kerajaan negeri pimpinan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu khususnya dalam membanteras kegiatan jenayah.
Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pelaksanaan salah satu daripada hukum Islam itu bukan sahaja akan memberi jawapan kepada persoalan yang timbul sebelum ini, sebaliknya membantu mengembalikan keamanan sejagat.
“Kalau kita boleh melaksanakan hukum hudud ini, memang diyakini banyak persoalan yang dihadapi sebelum ini diatasi, kita tengok di Arab Saudi berapa peratus sahaja jenayah, paling rendah dalam dunia.
“Allah SWT memberi jaminan, kalau kita boleh laksanakan (hudud) memang kita yakin bahawa persoalan yang kita hadapi boleh diatasi, cuma soal bagaimana untuk melaksanakan hukum hudud itu, apakah ada halangan itu persoalan lain, tetapi kalau hudud itu sendiri memang (Allah) sudah bagi jaminan,” katanya semalam dipetik daripada Sinar Harian Online.
Mohamad Shukri mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub (gambar) sebelum ini berhubung kesediaan kerajaan negeri melaksanakan hukum hudud yang kini dalam rangka mengadakan satu Sidang Meja Bulat bagi membentuk resolusi dan cadangan untuk meneruskan perlaksanaan hukum itu.
Media melaporkan Ahmad berkata, perkara itu dilakukan selepas beberapa pakar perlembagaan dan undang-undang menyatakan terdapat ruang untuk melaksanakan hukum itu.
Behubung kekeliruan berhubung pelaksanaan hudud, Mohamad Shukri berkata:
“Barangkali kekeliruan yang timbul begini, hudud hukum Allah SWT, pelaksanaan hudud ini harus dibincangkan, bagaimana hendak melaksanakan itu, apakah ada halangan , itu yang menjadi masalah, itu yang harus dibincangkan, bagi saya kalau dapat dilaksanakan memang saya menyokong,” katanya.
Hudud menjadi isu panas terutama di kalangan parti Pakatan Rakyat (PR) PAS dan DAP. PAS dan DAP sering bertelagah berhubung isu hudud.
Pelaksanaan hukum Hudud diperjuangkan oleh PAS sebelum ini sejak parti itu ditubuhkan.
Namun, selepas bersama PR yang juga dianggotai PKR dan DAP, PAS tidak lagi mengangkat hukum Hudud sebagai isu utama dan lebih menumpukan kepada perkara yang termaktub dalam Buku Jingga dikeluarkan pakatan tersebut.
Pengerusi DAP kebangsaan, Karpal Singh pernah berkata Malaysia bukan sebuah negara Islam tetapi mengamalkan undang-undang sekular seperti mana keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada 1988. TMI

Tiada ulasan: