21 Ogos : Buat pertama kali ada suatu kenyataan Najib yang saya setuju. Bila dia kata kerajaan tidak akan menjual MAS. Hanya saya harap ini kenyataan yang terus tegas. Jangan ia suatu ‘ruse’ untuk menyebabkan orang menyangka Najib ada tulang belakang untuk menyanggah Dr Mahathir. Jika ketegasan ini berterusan, ini ialah suatu first untuk Najib.
Kita kena tunggu dan lihat. Mahathir belum lagi menyergah Najib. Kita lihat nanti konstitusi Najib bila Mahathir bising- sama ada dia akan kekal menyatakan MAS tidak akan dijual atau tidak. Bersedia untuk mendengar pada masa akan datang Najib berkata selepas mengkaji semula fakta, dia berpendapat MAS patut dijual jika harga dan pembelinya dapat diterima. Apa jadi jika yang hendak beli MAS ialah Malindo Air? Ramai sahabat Najib di sana. DZJJ umpamanya.
Jadi buat masa ini - kita terimalah Najib nampak seperti ada tulang belakang walaupun sukar mencari lokasinya.
Orang Melayu jangan hairan jika Najib melantik Shahrizat sebagai penasihat. Ini memang rasmi Najib. Dia akan mengelingi dirinya dengan orang jahat, rasuah, pembawa beban kepada orang Melayu dan sebagainya. Dalam daerah Pekan, Najib mengekalkan ketua kampung yang mencuri tanah, ketua cawangan dan ketua kampung yang mengagih tanah sesama sendiri, yang mencuri balak, yang mengagih saham dikalangan kroni dan keluarga - semua orang jahat. Macam mana bangsa Melayu mahu maju jika pimpinan yang ditawarkan kepada mereka terdiri daripada perasuah, perompak dan yang tidak amanah. Adakah bangsa Melayu akan mendapat faedah jika Umno menawarkan pimpinan seperti Isa Samad, Anuar Musa, Shahrizat dan seumpamanya? Inikah cara Umno membangunkan bangsa Melayu?
Sekali lagi! Memang benar apa yang Zaaba kata pada tahun 1927. Kepayahan dan malang orang Melayu disebabkan oleh pemimpin dari kalangan bangsanya sendiri. Najib meneruskan tradisi membohongi bangsa Melayu. Pembangunan dan kemajuan bangsa Melayu memerlukan yang pertamanya, pemimpin yang terbaik. Apa yang Najib tawarkan kepada bangsa Melayu?
Jika bangsa lain mengatasi orang Melayu itu adalah kerana mereka (bangsa yang ke hadapan itu) mempunyai nilai peribadi yang menyokong kemajuan sebenarnya. Jika bangsa lain dalam negara kita ini mencapai kemajuan luar biasa, 90 peratus sebabnya ialah kerana pemimpin Melayu sendiri membenarkannya jadi demikian. Sebagai contoh. Kenapa ada orang Cina membuka tanah secara haram dalam hutan daerah Raub? Kerana pegawai kerajaan yang berbangsa Melayu dan pemimpin Melayu yang berkuasa membiarkan jadi demikian. Sebab pemimpin Melayu pun turut sama membalun tanah ribuan ekar dan menceroboh mencuri balak. Masakan jika tidak tutup sebelah mata bahkan kedua mata, pokok dan tanaman boleh membesar selama 30-40tahun? Selama 40 tahun, Melayu yang berkuasa itu tidur atau apa?
Kenapa ada tauke balak tebang kawasan hutan sesuka hati? Dapat gelaran Tan Sri lagi. Kerana pegawai kerajaan Melayu menutup mata bila tauke balak ceroboh kawasan yang diberi. Kerana tauke bayar pegawai Melayu dan ketua Melayu. Perompak dan penceroboh pun dapat gelaran Tan Sri dari bangsa Melayu. Bila orang Melayu dirundung malang dan dukacita, kita hendak salahkan orang lain? Salahkan pemimpin bangsa kita sendiri.
Kita kembali kepada Dr Mahathir. Jangan kita tanya Mahathir apa kita perlu buat dengan MAS. Boleh jadi dia jurucakap untuk Syed Mokhtar atau Tony Fernandez. Atau dia dengar nasihat dari penasihat terulung Malaysia , Nor Mohamad Yakob. Kalau rakyat Malaysia mahu menyelamatkan MAS, kita tanya Tan Sri Abdul Aziz Raman. Bila Tan Sri Rahman pencen, MAS ada reseb tunai RM5 billion.
Kenapa benda yang baik, mahu diswastakan? Sebab Mahathir memang bertabiat begitu. Apa yang boleh buat duit, dia akan swastakan kepada rakan dan orang terpilih. Maka dia swastakan kepada Tajudin Rahman. Akibatnya? Kerajaan kena beli semula MAS dari Tajudin pada harga RM1.8 billion. Jadi kenapa kita henda dengar cakap Mahathir? He has done enough damage to this country.
Seperti Daim beritahu saya - history will judge Mahathir on one point only. On corruption. Saya tidak fikir ada orang yang lebih mengenali Mahathir dari Dr Siti Hasmah selain Daim. Daim pernah beritahu saya Mahathir tidak boleh berenggang dengan Daim lebih dari tiga bulan.
Kenapa MAS boleh buat untung semasa Tan Sri Aziz mengemudi MAS dan sekarang MAS dirundung malang? Ini membuktikan bahawa yang diperlukan oleh MAS lebih dari segalanya ialah pimpinan perniagaan yang berkaliber tinggi, amanah , berani, bersih, dispilin dan setia kepada kepentingan negara.
Malangnya bila Mahathir campur tangan dan meswastakan. Malang kerana Mahathir ingat penswastaan menjamin keuntungan untuk MAS. Dengan suara yang terteran teran berusia hampir 90 tahun, Mahathir sebenarnya bukan percaya kepada penswastaan tapi kepada peng-autaan.
Dia sudah perintah Malaysia selama 22 tahun dan malang Malaysia hari ini banyak berpunca dari Mahathir sendiri. Keadaan politik yang tegang dan tidak tentu hala adalah kerana Mahathir menanam jarum perpecahan dalam kalangan Melayu jati. Mengapa bangsa Melayu enggan mengakui fakta bahawa Mahathir bukan Melayu sejati. Mahathir benci orang Melayu yang enggan menerima bahawa dia seMelayu dengan Melayu yang lain.
Mahathir memanglah mempercayai penswasataan. Kepadanya ia bermakna menswastakan keuntungan dan mengawamkan kerugian. Untung biar pihak swasta sapu, rugi biar awam atau rakyat yang tanggung.
Oleh : Sakmongkol. * Penulis ialah Ahli Parlimen Raub.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan