SPECIAL ADS

27 Ogos 2013

Parti India dan Parti Cina patut bergabung'

Kuala Lumpur 27 Ogos : Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin menyokong cadangan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya parti komponen yang mewakili kaum India bergabung bawah satu parti tunggal demi memastikan usaha memperkasa kebajikan kaum itu.

Malah, Khairy (gambar bawah, di tengah-tengah) yang juga menteri belia dan sukan turut mencadangkan parti yang mewakili kaum Cina seperti MCA dan Gerakan berbuat demikian untuk memberi "suntikan yang baru kepada parti-parti komponen" BN.

NONE"Bagus juga (bergabung). Saya tengok, kalau nak perkemaskan lagi BN, parti India boleh bergabung, parti Cina pun boleh bergabung (seperti) MCA dan Gerakan.

"Saya rasa akan bagi suntikan yang baru kepada parti-parti komponen kita. Bagi saya sebagai pengerusi Pemuda BN, saya rasa ia satu cadangan yang baik, bukan hanya parti India, kalau boleh Cina pun bergabung," katanya.

Khairy yang juga ketua Pemuda Umno bagaimanapun menegaskan keputusan muktamad untuk bergabung terserah kepada parti yang berkenaan.

"Terpulang kepada mereka untuk menentukan," katanya dalam sidang selepas menyerah tugas sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kepada ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Tengku Adnan antara lain dilapor berkata sudah tiba masanya pemimpin MIC, PPP, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti India Bersatu Malaysia (MUIP) dan Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berbincang untuk bergabung demi kebaikan serta masa depan kaum yang diwakili.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dilapor berkata MIC tidak sepatutnya dibubarkan berikutan ada cadangan supaya parti yang mewakili kaum India bergabung bawah satu parti tunggal.

Sebaliknya, katanya, semua parti tersebut perlu bergabung dengan MIC selaras dengan statusnya yang mewakili masyarakat India sejak sebelum merdeka lagi.

Tiada ulasan: