SPECIAL ADS

29 Ogos 2013

BN dan PR bukan masa sesuai melaksanakan kerajaan perpanduan

Kuala Lumpur 29 Ogos : Pemimpin PAS tidak sekata berhubung cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk berbincang dengan Barisan Nasional (BN) dalam isu membabitkan kepentingan rakyat.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk BN dan PR berbincang untuk melaksanakan kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, landskap politik Malaysia masih tebal dengan politik berasaskan parti maka sistem demokrasi yang diamalkan sekarang masih relevan kerana rakyat boleh memilih kerajaan mereka yang mereka rasa layak untuk memerintah negara.
“BN tidak sepatutnya gentar untuk menyatakan pendirian kerana sistem demokrasi Malaysia jelas meskipun BN memperoleh undi kurang 50 peratus tetapi mereka memperoleh majoriti kerusi Parlimen, maka tiada apa yang perlu ditakutkan.
“Isu Mesir membuka ruang lebih luas kepada BN dan PR untuk menyatakan pendirian kerana rampasan kuasa oleh tentera Mesir menafikan proses demokrasi,” katanya kepada The Malaysian Insider pada Ahad.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, berkata perbincangan dwi parti bergantung sepenuhnya kepada keperluan umat dan isu yang dapat memberi kepentingan bersama.
Beliau berkata, jika kedua-dua belah pihak BN dan PR menemui jalan buntu dan perlu kepada persepakatan, maka kerajaan perpaduan adalah jalan terbaik bagi menangani isu masyarakat.
“Isu yang melingkari negara seperti rasuah, pengabaian demokrasi, kebebasan media dan penindasan kaum di Malaysia sangat dititikberatkan oleh PR. Jika kerajaan BN sedia duduk berbincang bagaimana isu berkenaan dapat disepakati, maka PR sentiasa positif melihat usaha perbincangan ini,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider hujung minggu lalu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula melihat tiada keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan di antara BN dan PR kerana rakyat sendiri memilih parti gabungan dalam PR dengan terbuktinya undi popular memihak kepada PR.
Beliau berpendapat, BN sudah tidak relevan lagi kepada rakyat Malaysia maka sememangnya tiada keperluan untuk berbincang mengenai kerajaan perpaduan.
Katanya, BN kini menunggu masa untuk meninggalkan Putrajaya selepas mereka menunjukkan rasa tidak berminat membincangkan isu penting seperti pergolakan Mesir.
“PAS menghantar memorandum ke Putrajaya namun tidak dipedulikan maka isyarat itu cukup memberi isyarat kedinginan kerajaan BN,” katanya yang tidak berharap BN akan memberi petanda positif.
Datuk Husam Musa yang juga seorang lagi Naib Presiden PAS enggan mengulas lanjut mengenai kerajaan perpaduan kerana usaha itu hanya omongan kosong tanpa ada maklum balas lanjut di kedua-dua pihak.
Beliau berkata, perkara yang tidak menjadi kenyataan itu tidak memerlukan ulasan lanjut kerana tiada ura-ura pun perkara berkenaan mahu dilaksanakan.
“Saya tidak mahu ulas isu berkenaan, biar kepimpinan tertinggi yang memutuskannya,” sambil melemparkan senyuman ketika ditemubual.
The Malaysian Insider melaporkan pada Ahad tentang kesediaan Anwar untuk berbincang dengan BN.
Ketua Umum PKR itu berkata, antara topik perbincangan yang boleh diketengahkan adalah daripada segi ekonomi, jenayah dan kewibawaan badan kehakiman.
Katanya, PR belum berbincang tentang kerajaan perpaduan namun pihaknya terbuka bagi membincangkan isu yang berkaitan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata perbincangan mengenai kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku selagi pihak pembangkang terutamanya Anwar serta kepimpinan PR masih tidak menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan mempertikai keputusan itu. 

Tiada ulasan: