SPECIAL ADS

12 Ogos 2013

Mengapa PAS gagal dapat undi Felda?

12 Ogos : Mazlan Aliman (gambar) mula aktif dalam PAS pada 1985 sebagai penampal poster. Pada Muktamar PAS 2011 nama Mazlan paling popular di kalangan perwakilan PAS. Beliau mendapat undi tertinggi sebagai AJK PAS Pusat.
Kemenangan Mazlan adalah kerana beliau dilihat sebagai tokoh yang sedang berusaha untuk membuat satu penemuan baru iaitu menembusi kawasan Felda di seluruh negara yang selama ini menjadi kubu Umno.
Mazlan dan rakan-rakannya menubuhkan satu NGO iaitu Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) pada tahun 2007 dan Mazlan dilantik sebagai presidennya.
Dalam muktamar beberapa tahun sebelum itu, seorang perwakilan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dari Kota Bharu mencadangkan PAS memperuntukkan RM1 juta untuk Mazlan.
Namun di sebalik semua ini,  pencapaian PAS di semua kawasan yang mempunyai pengundi Felda di seluruh negara tetap tidak memberangsangkan dalam pilihan raya umum 2013 lalu.
PAS kalah hampir di semua 54 kawasan Parlimen dan kira-kira 90 kawasan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai Felda.
Apakah sebenarnya yang berlaku. The Malaysian Insider cuba melihat perkara ini dengan berbincang dengan Presiden Anak, Mazlan Aliman dan beberapa peneroka Felda.
"Pilihan raya 2013 adalah paling getir dalam menembusi kawasan Felda kerana BN menggunakan sepenuhnya kempen perkauman dan habuan kewangan untuk mengekalkan fix deposit mereka ini," cerita Mazlan Aliman kepada The Malaysian Insider.
Namun begitu, katanya, PAS membuat banyak pencapaian dalam kawasan Felda. Hampir 75 peratus kawasan Felda di seluruh negara sudah mempunyai cawangan PAS, katanya. Namun, usaha yang agak sukar adalah untuk menawan hati pengundi agar majoriti mereka mengundi PAS.
Menurut Mazlan, pihak yang paling sukar ditembusi adalah wanita. Ini kerana mereka tidak terdedah kepada program ceramah politik tetapi lebih dipengaruhi oleh media BN dan program anjuran Felda.
"Di Felda ini, semuanya terkawal. Setiap kawasan mempunyai ketua kampung. Setiap 20 buah rumah pula ada ketua blok, penolong ketua blok dan AJK mereka.
"Di peringkat atas pula ada pengurus Felda, penolongnya dan pegawai-pegawai yang mengawal setiap pergerakan peneroka dan keluarga masing-masing.
"Ia berbeza dengan kampung tradisi apatah lagi dengan kawasan bandar," cerita Mazlan.
Semasa pilihan raya lalu, isu perkauman dan duit menjadi senjata utama BN.
"Bayangkan Puteri dan wanita Umno naik ke rumah-rumah peneroka memberikan beras dengan pesanan khas...Ni beras, simpan baik-baik beras ni, nanti bila Cina perintah Malaysia, kita kecoh tiada beras," cerita seorang AJK Anak yang disahkan Mazlan.
Ia ditambah pula dengan kempen BN di kawasan mereka. Risalah, CD, taklimat khas dan duit. Semua berjalan lancar kerana dibantu rangkaian kerajaan dalam Felda itu sendiri.
Semua kempen ini selari dengan kempen Umno bahawa DAP akan menguasai Malaysia dalam pilihan raya itu. Semua ini dipercayai kerana mereka tidak terdedah dengan fakta sebenar bahawa DAP hanya bertanding 45 kerusi Parlimen sahaja sedangkan Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi.
Namun ada pihak yang menyalahkan PAS dalam isu ini. Bagi mereka, oleh kerana hujjah ini tidak lojik, PAS membiarkan sahaja kempen ini tanpa serangan atau penjelasan.
Mereka memberikan kes Temerloh.
"Saya pulang ke Temerloh empat hari menjelang hari pilihan raya. Sepanjang masa saya berceramah menerangkan bahawa kempen BN ini menipu. Bagaimana Cina nak perintah Malaysia kalau mereka hanya 35 peratus dan DAP bertanding 45 kerusi sahaja dari 222 kerusi parlimen," kata Abdullah Karim, seorang peguam yang berasal dari Temerloh.
Hasilnya PAS berjaya menang di Temerloh walaupun di sini ada juga beberapa kawasan Felda.
Di kawasan Felda yang tidak dijelaskan dengan baik isu ini, ia sangat berkesan dalam menakutkan peneroka dari memberikan undi kepada PAS kerana bimbang Cina pula yang memerintah Malaysia.
"Mereka yang menyertai Felda ni kurang berpelajaran jadi mereka mudah terpengaruh dengan kempen sebegini. Tambah-tambah lagi dengan duit yang dibayar oleh Felda sebanyak RM15,000 setiap keluarga itu," kata Mazlan.
Menurutnya, untuk generasi kedua pula, tekanan dari Anak sebelum ini untuk mendapatkan rumah untuk mereka digunakan sepenuhnya oleh BN.
"BN datang membuat rumah contoh untuk jenerasi kedua di kawasan-kawasan Felda. Jika mereka mahu rumah ini, mereka kena menangkan BN. Kempen ini sangat berkesan," kata Mazlan.
Kempen ini katanya sangat berkesan untuk mereka yang baru kahwin dan berumur antara 30 hingga 50 tahun.
Perancangan
Mazlan dan rakan-rakannya mempunyai perancangan sendiri dalam menghadapi perkara ini untuk lima tahun akan datang.
Setelah dibuat postmortem awal dan analisis, sehingga kini beliau mempunyai dua perancangan untuk menyelesaikannya.
"Pertama kami akan daftarkan Anak dengan pendaftar syarikat. Jadi tidak akan timbul lagi tuduhan Anak sebuah pertubuhan haram.
"Jika ditolak oleh RoS, kita akan daftarkan ia sebagai sebuah syarikat iaitu melalui Suruhanjaya Syarikat. Kita berharap dapat menyelesaikan hal ini secepat mungkin," beritahu Mazlan.
Namun begitu, bagi AJK PAS Pusat ini, dia penuh yakin kekuatan akar umbi PAS adalah segala-galanya.
"Kawasan Felda yang mempunyai cawangan dan ahli yang ramai mempunyai keputusan yang baik dalam pilihan raya lalu.
"Felda Lurah Bilut misalnya, 41 peratus pengundinya menyokong Pakatan walaupun calonnya dari DAP kerana di sini mempunyai cawangan dan ahli PAS yang ramai. begitu juga di Kerteh, Terengganu," beritahu Mazlan.
Sehubungan dengan itu, katanya, pihaknya akan berusaha untuk meningkatkan sokongan kepada Pakatan di kawasan Felda dengan memperkukuhkan PAS.
"PAS akan kukuh kalau cawangan banyak, ahli ramai dan banyak pula program berkala. Misalnya kita perlu ada tadika iaitu Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam), kelas pengajian, program belia, kompang, kedarat dan yasinan," beritahu Mazlan.
Jika PAS boleh mengadakan semua ini Mazlan yakin sokongan kepada PAS akan meningkat lagi dalam pilihan raya umum akan datang.
Dengan perkembangan media sosial yang semakin meluas, ia juga akan mempengaruhi masyarakat Felda di masa depan.
Ketika itu, katanya, isu perkauman akan tumpul dan masing-masing akan berfikir untuk mendapatkan yang lebih baik untuk mereka bukan setakat mendapat gula-gula pilihan raya sahaja. 

Tiada ulasan: