KUALA LUMPUR 28 OGOS: Cadangan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah agar Kerajaan Kedah menyekat laluan air ke Pulau Pinang sebagai politik sempit yang menindas rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali berkata, kenyataan dangkal Ahmad Bashah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam turut mencerminkan rupa sebenar pemimpin Umno BN.
“Mereka tergamak menghukum rakyat hanya disebabkan kepentingan politik sempit, walhal Ahmad Bashah harus faham, penduduk Pulau Pinang dan Kedah mempunyai hak yang sama terhadap bekalan air Sungai Muda.
“Malah tidak pernah sepanjang sejarah penubuhan Malaysia sejak merdeka, hak milik dan soal pembekalan sumber air ini menjadi pertikaian,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, tindakan itu menunjukkan Umno BN cuba menghukum penduduk Pulau Pinang kerana tidak memilih parti itu dalam pilihan raya umum lalu.
“Justeru, demi kepentingan dan kebajikan rakyat kedua-dua negeri, saya mendesak Ahmad Bashah menarik balik kenyataannya yang dangkal dan tidak berperikemanusiaan itu”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan