KUALA LUMPUR 06 Ogos : Hari Raya kali ini disambut dalam keadaan kos hidup rakyat negara ini dijangka akan bertambah mahal dan menekan mereka, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
"Saya diberitahu, apabila agensi penarafan yang berpangkalan di Amerika Syarika Fitch Rating meletakkan prospek Malaysia daripada stabil kepada negatif, ia akan mencetuskan banyak kesan termasuk kejatuhan nilai ringgit.
"Keadaan itu sangat membimbangkan kerana Malaysia adalah negara pengimport makanan," kata beliau.
Salahuddin berkata, berikutan penarafan tahap negatif itu, mereka yang mengkaji ekonomi menjangkakan keadaan akan menjadi bertambah buruk kerana ringgit Malaysia telah pun berada pada tahap terendah dalam masa tiga tahun berbanding dollar Amerika.
"Harga barangan import sudah tentu akan bertambah mahal dan ia akan memberi kesan kepada hampir kesemua perniagaan dan industri dalam negara ini," katanya.
Ringgit Malaysia juga, katanya lagi, berada pada kadar terendah dalam masa 15 tahun berbanding dollar Singapura.
"Sekarang bertambah murah dan mudahlah orang-orang Singapura membeli hartanah di negara ini.
"Semua ini perkembangan yang tidak baik bagi rakyat Malaysia," kata Salahuddin.
Beliau berkata, rakyat perlu memahami bahawa apabila nilai ringgit jatuh dan penarafan pula diletakkan pada tahap negatif, lebih banyak wang terpaksa dibelanjakan oleh negara ini untuk membayar hutang luar termasuklah kos untuk pelbagai jaminan kerajaan yang melibatkan bond, sukuk dan sebagainya.
"Apabila lebih banyak wang dibelanjakan untuk membayar hutang, peruntukan untuk pembangunan pula akan berkurangan," katanya.
Salahuddin juga mengingatkan, dengan perkembangan sebegini di mana harga barangan termasuk makanan akan bertambah mahal dan menekan, wang sekali bagi seperti BR1M tidak akan dapat membantu meringankan beban rakyat.
"Persoalannya, apa akan jadi dengan nasib rakyat dan negara ini di bawah kerajaan yang tidak berkemampun kerana penarafan yang diturunkan ke tahap negatif itu dengan sendirinya jelas menunjukkan kegagalan dan ketidakmampuan kerajaan Umno Barisan Nasional mengendalikan ekonomi negara," kata beliau.
Fitch Rating menyemak semula prospek Malaysia daripada "stabil" kepada "negatif", dengan mengemukakan masalah kurangnya kemajuan dalam reformasi kerajaan dalam menangani defisit fiskal.
Ia juga membangkitkan kebimbangan berhubung peningkatan hutang isi rumah dan hutang kerajaan, sebanyak 53.3 peratus pada penghujung 2012, tidak termasuk liabiliti luar jangka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan