SHAH ALAM 08 OGOS : Menyedari hakikat rakyat masih memerlukan bantuan bagi meringankan beban akibat kos sara hidup tinggi, kerajaan Selangor bertekad untuk menawarkan program yang memberi manfaat jangka panjang.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia bagi menangani kesempitan hidup yang dialami penduduk di negeri ini ekoran kegagalan kerajaan Pusat menangani kenaikan harga barang saban hari.
Katanya, pelaksanaan program itu adalah kesinambungan terhadap agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang akan diperluaskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Kerajaan negeri sedar betapa penduduk Islam dan bukan Islam yang berjumlah 5.3 juta di Selangor memerlukan bantuan bagi meringankan beban hidup akibat kenaikan harga barangan yang tidak dapat ditangani Kerajaan Pusat,” katanya.
Sempena perutusan Hari Raya Aidilfitri, Khalid berkata, berkata, antara usaha awal yang akan dilaksanakan ialah memperkasa pembangunan kampung tradisi dan kampung baru di seluruh negeri.
Walaupun lebih 55 tahun merdeka dan beberapa kementerian diwujud untuk pembangunan luar bandar, katanya, pembangunan di sembilan daerah di negeri ini jauh dari memuaskan.
“Penyediaan keperluan asas untuk kegunaan awam, pendidikan agama dan sumber pendapatan penduduk belum mencukupi hinggakan pembangunan di kampung tradisi dan kampung baru belum layak wujud di negeri yang diisytihar ‘negeri maju’ hampir 10 tahun lalu,” katanya.
Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, selain menambah baik aspek keselamatan, bantuan pendidikan, pembinaan keluarga dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan