SPECIAL ADS

27 Ogos 2013

Ketagih EO?

KUALA LUMPUR 27 Ogos : Dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya rumah beliau diganggu samseng membenarkan pendedahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa pihaknya ketagih dengan Akta Ordinan Darurat (EO).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin, tujuan Zahid membuat dakwaan sedemikian adalah untuk mempengaruhi rakyat supaya mewajarkan penggunaan EO.
"Kita memahami keinginan Zahid dan pihaknya supaya dikembalikan EO, tetapi janganlah buat dakwaan tidak masuk akal kononnya samseng pergi ke rumah terbukanya di Bagan Datoh meminta wang perlindungan.

"Kedai makan polis pencen pun gangster tidak berani datang memeras ugut wang, tidak masuk akal langsung samseng berani minta wang perlindungan dari menteri yang menjaga urusan dan pasukan polis," katanya.

Kalaupun benar mahu memperbodohkan rakyat, Mahfuz berharap Zahid tidak melampau sangat sehingga dia pula yang kelihatan bodoh.

"Saya berharap Menteri Dalam Negeri sudi menerima nasihat yang ikhlas ini supaya beliau tidak kelihatan begitu bodoh di mata rakyat dengan dakwaan yang langsung tidak masuk akal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz bersetuju dengan pendedahan Peguam Negara bahawa tahanan tanpa bicara di bawah EO gagal mengekang jenayah sejak zaman dahulu namun polis tetap menggunakannya kerana mereka "ketagih" dengannya.

Abdul Gani berkata kebanyakan suspek yang ditahan tanpa bicara akan dibebaskan namun tidak meningkatkan tahap keselamatan awam.

"Ini kerana tahanan kembali kepada aktiviti lama mereka selepas dibebaskan," Malaysian Insider memetik beliau berkata.

Beliau bagaimanapun berkata kebergantungan polis terhadap EO untuk menahan penjenayah tegar kerana mereka "ketagih" dengannya.

Mengulas lanjut pendedahan Peguam Negara itu, Mahfuz berkata: "Saya telah sebut sebelum ini, apabila Zahid mendakwa  wujudnya beratus ribu orang kanan dan pengikut tegar penjenayah-penjenayah yang dibebaskan, ia dengan sendiri mendedahkan bahawa EO tidak berkesan dan lebih dari itu mendedahkan kelemahan polis sendiri".

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa EO sebenarnya menunjukkan kelemahan cara dan prosedur siasatan polis sehingga terpaksa menggunakan tindakan penahanan tanpa bicara untuk memenjarakan penjenayah.

"Perkara itu diakui oleh Menteri Belia dan Sukan yang Ketua Pemuda Umno (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) apabila beliau menyatakan tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha meningkatkan kemampuan dan kecekapan anggota keselamatan terutama polis dalam menangani kadar jenayah dan bukannya memperkenalkan satu undang-undang baru menggantikan EO yang dikatakan akan mempunyai eleman penahanan tanpa bicara," kata Mahfuz.

Sejak menghentikan penggunaan EO, Bukit Aman menggesa penggunaan semula akta itu yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Gesaan tersebut disokong penuh dan turut diperjuangkan oleh Menteri Dalam Negeri.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau berharap dikembalikan dikembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan EO untuk membantu pihaknya menangani jenayah dengan lebih berkesan.

Tiada ulasan: