27 Ogos : KOMENTAR - Rakyat Malaysia bukan sahaja dikejutkan dengan persoalan siapakah pembunuh sebenar wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu bahkan pelbagai keraguan timbul sepanjang prosiding perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi ini.
Setelah hampir 7 tahun kes pembunuhan ini dibicarakan, akhirnya mahkamah memutuskan bahawa ‘pembunuh’ Altantuya didakwa tidak bersalah dan terlepas dari hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan sebelum ini.
Kepincangan dalam sistem Kehakiman dapat dilihat bukan setakat ini sahaja, bahkan di awal perbicaraan lagi.
RAZAK BAGINDA DIBEBASKAN, SIAPA ARAH SIRUL DAN AZILAH BUNUH ALTANTUYA?
Di Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan kenyataan pembuktian tidak bersalah yang terkandung dalam afidavit seorang penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dimana dibatalkan pertuduhan bersubahat yang dihadapinya yang turut menyeret dua suspek utama anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri.
Jelas menunjukkan penglibatan Razak Baginda dalam kes ini tetapi afidavit yang difailkannya menyokong permohonan bagi diikat jamin sebelum perbicaraan dengan niat untuk menunjukkan beliau tidak bersubahat dalam pembunuhan itu.
Maka dengan itu, secara mudah Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan terhadap beliau dalam pembunuhan Altantuya pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri.
Jika Razak Baginda dianggap tidak bersubahat, siapa pula yang mengarahkan Sirul dan Azilah melakukan pembunuhan Altantuya?
KETERANGAN DSP MUSA SAFRI TIDAK RELEVAN
Kedua, DSP Musa Safri yang merupakan pengiring Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dipanggil memberi keterangan dalam kes ini.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah adalah tidak relevan untuk memanggil DSP Musa memberikan keterangan kerana beliau (Musa) tidak hadir pada pertemuan antara Azilah dan Abdul Razak dan beliau sudah pasti tidak tahu apa yang berlaku.
Sehubungan itu hak untuk menyoal balas DSP Musa diketepikan kerana dilihat wujudnya ketiadaan konsisten bukti.
BUNUH ALTANTUYA TUGAS RASMI UTK?
Kes yang mendapat liputan meluas media termasuk media antarabangsa ini terus mencetuskan keraguan ramai apabila ia melibatkan anggota UTK Bukit Aman. Apa yang dipersoalkan di sini adakah misi membunuh wanita Mongolia itu turut menjadi sebahagian daripada tugas rasmi anggota UTK? Sedangkan kita maklum akan anggota UTK yang hanya akan bertindak setelah menerima arahan daripada pihak atasan.
Pada 15 November 2006, Sirul dan Azilah, dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pada 9 April 2007, Mahkamah Tinggi Shah Alam akhirnya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan Sirul kerana didapati bersalah membunuh Altantuya. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwaan telah membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap mereka.
HAKIM TERSALAH ARAH?
Minggu lalu, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara berpuas hati dan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan terhadap pensabitan dan hukuman.
Hakim Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman ringkas menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap arah dalam pelbagai aspek ketika mencapai keputusan menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua suspek utama itu.
Beliau turut menyatakan antara lain hakim itu juga gagal menimbang pembelaan alibi berkaitan diari stesen yang mencatatkan Azilah tiada di tempat kejadian di mana Altantuya dibunuh tetapi sebaliknya Azilah ketika itu berada di Bukit Aman.
Sirul dan Azilah dibebaskan. Maka sepanjang tujuh tahun masa berlalu tanpa sesiapapun dipertanggungjawab terhadap kematian wanita itu dan tidak siapa tahu mengapa bekas model dan penterjemah itu dibunuh.
KENAPA SIRUL DAN AZILAH SENTIASA ‘BERTOPENG’?
Hanya di Malaysia, di mana sejak daripada awal perbicaraan kes pembunuhan ini, kedua anggota UTK itu diberi layanan istimewa iaitu ‘costum made’ penutup muka ala ninja.Persoalannya mengapa wajah kedua pesalah ini sentiasa ditutup dari pandangan media bahkan seluruh dunia tidak pernah melihat wajah mereka.
Walhal,sekiranya pesalah bagi kes lain pula wajah mereka boleh ditutup dengan surat khabar atau kebiasaannya hanya tertunduk malu.
Tetapi lain pula halnya kedua tertuduh menerusi kes diklasifikasi berprofil tinggi ini, wajah mereka tetutup sepenuhnya dari dipertonton kepada umum.
PERBICARAAN PELIK, HANYA DI MALAYSIA
Mengikuti perbicaraan kes ni seperti mengikuti satu perbicaraan pelik kerana pelbagai kepincangan timbul. Hakikatnya motif dan pembunuh bagi kes ini perlu diperjelaskan bagi menjaga imej dan sistem perundangan negara dimata dunia.
Episod sejarah hitam hidup Sirul dan Azilah seperti kembali diterangi cahaya setelah terselamat dari hukuman mati. Tetapi sistem perundangan dan kehakiman negara pula seperti terpalit dengan episod hitam.
Namun misteri, siapa sebenarnya pembunuh Altantuya masih tersembunyi setelah semua yang didakwa dan dibicarakan terlepas dari sebarang hukuman – mza
Tiada ulasan:
Catat Ulasan