Kuala Lumpur 08 Ogos : Ramadan melabuhkan tirainya bukan sahaja satu simbol kemenangan bagi umat Islam setelah berpuasa selama sebulan dengan menahan hawa nafsu daripada makan dan minum namun ianya juga sebagai satu pendekatan kepada dua ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) bukan Islam bagi memahami dan mendalami kesusahan umat Islam berjuang menghadapi Ramadan.
Dua ahli parlimen yang dimaksudkan ialah Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen PKR Batu Chua Tian Chan atau Tian Chua yang hampir berpuasa penuh sepanjang Ramadan sambil merasai sendiri pengalaman bersahur dan berpuasa sebagai ahli parlimen dalam bergelumang dengan kerenah masyarakat dari siang ke malam.
Ong yang meraih undi ketiga tertinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu mendapati sambutan Hari Raya kali ini sangat bererti kepada dirinya kerana pertama kali bergelar ‘Yang Berhormat’ di kawasan yang mempunyai lebih 50,000 pengundi Melayu selain berjaya berpuasa di kebanyakan hari dalam bulan Ramadan.
Katanya, berpuasa bukan sahaja memberi faedah dari segi fizikal dan kerohanian namun beroleh semangat solidariti dengan komuniti yang lebih besar.
“Ramai bertanya adakah perbuatan saya berpuasa semata-mata satu sandiwara politik namun pada hakikatnya amalan ini telah saya amalkan sejak Ramadan lalu dengan mengehadkan pengambilan makanan pada siang hari.
“Sebab utama saya berpuasa adalah bagi mengukuhkan kawalan kendiri dari segi kawalan pemakanan dan juga merasai sendiri pengalaman orang Islam bagaimana mereka menahan daripada makan dan minum. Inilah masa terbaik bagi meraikan Ramadan bersama 60 peratus populariti umat Islam di Malaysia.
“Saya bersahur pada jam 5 pagi setiap hari dan berbuka pada waktu Maghrib bersama rakan beragama Islam mahupun menghadiri majlis berbuka puasa bersama penduduk di Serdang.
"Sebelum ini saya sukar membayangkan untuk tidak minum selama 12 jam terutama menjadi seorang ahli parlimen yang perlu menghadiri sesi perdebatan ketika minggu pertama Ramadhan. Begitu juga berjumpa dengan pengundi dan media bagi menjelaskan sesuatu isu. Lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri dengan tidak minum di siang hari,” katanya dalam satu artikel yang dihantar kepada The Malaysian Insider.
Katanya, keletihan pada waktu tengahari memang tidak dapat dielakkan terutama dua jam terakhir sebelum waktu berbuka puasa namun itulah cabaran bagi menjelaskan kepada rakan bukan Islam ketika bertemu mereka di waktu makan tengahari dan melihat mereka makan.
Beliau menjelaskan rakan-rakan beragama Islam banyak memberi galakan untuk berpuasa melalui Facebook dan Twitter mahupun pengundi di kawasan Serdang kerana kebanyakan mereka tidak pernah bertemu dengan orang bukan Islam yang berpuasa secara sukarela.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi Shafie Ngah merupakan individu yang selalu memberi galakan untuk saya berpuasa dengan mendoakan diberi kekuatan untuk berpuasa.
“Pengalaman berbuka puasa di surau dan masjid menjadikan saya lebih dekat dengan penduduk yang penuh dengan rasa kekitaan dalam semangat berpuasa. Majlis berbuka puasa yang saya hadiri berbeza dengan buffet Ramadan di hotel mewah yang menyajikan pelbagai jenis hidangan.
“Saya merasakan semangat bermasyarakat ketika memberikan sumbangan raya kepada penduduk yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan warga emas,” katanya.
Ahli strategi DAP itu menambah Ramadan kali ini tidak akan sempurna tanpa sokongan daripada isteri tercinta yang menyediakan sahur pada jam 5 pagi setiap hari dengan menu seperti buah-buahan, bubur dan roti.
Katanya, banyak kenangan yang beliau peroleh semasa Ramadan antaranya ialah dapat berborak lebih lama bersama isteri semasa waktu sahur selain mendalami Bible dan membaca terjemahan surah A-Baqarah.
Sementara itu, Tian Chua semasa dihubungi The Malaysian Insider menjelaskan orang bukan Islam berpuasa sebenarnya tidak menjadi isu kerana agama lain juga mempunyai amalan berpuasa namun amalan itu bagi agama lain lebih bersifat individu seperti menunaikan hajat.
Katanya, berpuasa dalam Islam lebih menekankan aspek kebersamaan iaitu amalan puasa dilakukan oleh semua orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.
“Hampir setiap tahun saya berpuasa sebagai tanda solidariti dengan rakan yang beragama Islam kerana sebagai ahli politik terlalu banyak menggunakan mulut seperti bercakap dan makan kenduri tanpa melakukan senaman, jadi dapat megurangkan beban perut supaya berehat.
“Pagi bersahur saya akan banyak minum air dan makan banyak buah-buahan kerana pada jam 12 tengah malam sebilangan rakyat Malaysia masih menikmati hidangan tengah malam,” katanya.
Semua pengalaman ini menjadikan mereka rapat dengan umat Islam yang berpuasa dan berhari raya selepas menunaikan puasa.
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan