KUALA LUMPUR: Himpunan Bantah 501 yang berlangsung di Dataran Merdeka sempena Hari Pekerja, 1 Mei lalu sekali lagi mencatat sejarah negara apabila puluhan ribu rakyat dari seluruh negara bersatu tekad dan suara membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan BN yang dijadualkan pada tahun hadapan.
Kehadiran pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama itu memperlihatkan penolakan majoriti rakyat terhadap cukai yang menindas itu apatah lagi tatkala kehidupan rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Seperti diungkapkan Deklarasi 1 Mei 2014 yang ditandatangani 92 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, hanya 15% sahaja rakyat negara ini yang membayar cukai pendapatan dengan 38% masih menerima gaji di bawah paras kemiskinan RM860 sebulan, serta pelaksanaan Gaji Minima RM900 yang masih menjadi dilema.
Malah, menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hutang seisi rumah di Malaysia adalah 83% daripada KDNK dan yang tertinggi di Asia berbanding dengan Singapura 67% dan Hongkong 58%. Dalam keadaan ini, apakah nasib rakyat jika Cukai GST dilaksanakan?
Cukai GST akan menyebabkan semua harga barangan dan perkhidmatan akan naik, walaupun kerajaan menjustifikasikan ada 40 jenis barangan asas tidak akan naik harga.
Ini kerana, sebelum sesuatu barang sampai kepada pengguna, ia melalui banyak proses penyediaan, semua proses penghasilan melibatkan pembayaran cukai GST. Ini secara tidak langsung akhirnya akan menaikkan harga barangan pengguna.
Rakyat Malaysia khususnya kaum pekerja akan tetap merana akibat GST walaupun kerajaan memberi alasan-alasan yang tidak munasabah dalam melaksanakan cukai ini.
Kajian badan penyelidik bebas, Merdeka Center mendapati sejumlah 62% rakyat Malaysia tidak menyokong pelaksanaan GST. Kaji selidik yang dijalankan sekitar 12 hingga 21 April itu melibatkan 1,009 responden dengan 60% (Melayu), 31% (Cina) dan 9% (India).
Sejumlah 40% responden juga memberi jawapan negatif bila ditanya sama ada GST adalah sistem cukai yang adil. Lebih buruk, seramai 46% responden tidak yakin BN mampu menangani ekonomi negara sehingga 2020.
Menteri Besar Selangor yang juga seorang tokoh korporat dan ekonomi, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpendapat, GST tidak sesuai dilaksanakan sehingga jurang pendapatan rakyat berpendapatan rendah dan menengah berjaya dirapatkan.
Ini kerana golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana masih membentuk kelompok besar rakyat.
Pelaksanaan GST, jelas beliau menyebabkan rakyat berpendapatan rendah terpaksa membayar jumlah cukai yang sama rata dengan golongan berpendapatan menengah dan tinggi bagi memperoleh barangan atau perkhidmatan yang sama.
Bagaimanapun bantahan rakyat itu tidak dipedulikan kerajaan yang memerintah.
Respon awal datang daripada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, yang bertegas bahawa kerajaan BN akan tetap melaksanakan GST pada April 2015 meskipun mendapat bantahan rakyat.
Sambil menyifatkan perhimpunan membantah CBP sebagai tidak wajar, Ahmad berkata penganjur perhimpunan seharusnya menggunakan pendekatan lebih baik untuk menyuarakan pendapat mereka.
"Mereka sepatutnya mengemukakan memorandum berhubung perkara itu, ini (bantahan) hanya bertujuan untuk mempolitikkan segala perkara baik yang kerajaan mahu laksanakan," katanya kepada pemberita pada hari himpunan Bantah 501 diadakan.
Lain pula halnya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menghamburkan ugutan bahawa penjawat awam yang didapati terlibat dalam perhimpunan membantah GST akan dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang kerja.
Menurutnya, penjawat awam seharusnya menyokong aspirasi dan dasar kerajaan, bukan sebaliknya.
Ali mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda yang menganggap penjawat awam terlibat dalam perhimpunan itu sebagai 'pengkhianat' dan tidak layak bergelar penjawat awam.
Kenyataan bernada ugutan juga datang daripada Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Menurut Rais, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap penuntut universiti yang mengambil bahagian dalam perhimpunan membantah pelaksanaan GST di Dataran Merdeka, Khamis lalu.
"Pelajar juga perlu sedar tugas mereka adalah menuntut ilmu dan memenuhi harapan ibu bapa, bukan untuk berpolitik kerana ada tempatnya jika mahu berpolitik," katanya kepada pemberita.
Rais yang juga Presiden UIAM berkata universiti itu sedang menunggu maklum balas daripada polis sekiranya terdapat pelajar yang terlibat dalam perhimpunan itu untuk tindakan lanjut.
Sikap angkuh pemimpin BN ini dalam menilai bantahan rakyat disambut pula Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di BESUT apabila menyifatkan perhimpunan membantah GST sebagai satu provokasi kepada kerajaan.
Ketua Pemuda Umno itu mendakwa kononnya perhimpunan itu memberi banyak kesusahan kepada orang ramai yang mahu bercuti sempena Hari Pekerja. Sebagai menteri pengiring dalam lawatan tiga hari Presiden Obama ke negara ini, Khairy tidak pula prihatin dengan kesusahan warga kota yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas ekoran kehadiran Presiden Amerika Syarikat itu.
Sama kisahnya dengan media konvensional pro-BN apabila memberikan gambaran buruk terhadap perhimpunan besar rakyat itu. Insiden terpencil membabitkan pertelingkahan kecil peserta perhimpunan dan insiden mengasari jurugambar oleh beberapa individu tidak dikenali diangkat sebagai isu besar sehingga menenggelamkan rasional perhimpunan itu diadakan.
Apa yang gagal dipaparkan media massa pro-BN adalah pujian yang diberikan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan juga polis terhadap penganjur kerana berjaya memastikan perhimpunan itu berjalan secara aman dan tenteram.
Sentimen penentangan terhadap GST turut dikongsi oleh para peserta perhimpunan.
Mahmuda Aliman, 44, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkereta ke Kuala Lumpur bersama rakan sekampung untuk menyertai Himpunan Bantah 501.
"Saya menoreh getah. Sudahlah harga getah turun, kerajaan nak 'bantai' dengan GST pulak," katanya kesal. Beliau menyifatkan himpunan itu sebagai berjaya kerana dihadiri golongan muda dan pekerja.
Sampai di Dataran Merdeka sejak jam 11 pagi, Mahmuda yang menyifatkan dirinya sebagai wakil penoreh getah menggesa kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap (getah buku) kepada RM4/kg.
"Barulah munasabah nak kenakan GST. Kalau tak jawapannya kita kena balik ke tahun 60-an, tanam ubi.
"Itupun... kalau tanam ubi kena berebut dengan babi hutan. Ini serius. Kampung saya, Kampung Getam, Kuala Pilah memang banyak babi hutan," katanya disambut ketawa dua rakannya yang lain.
Ahmad Abdullah, 52, dari Wangsa Maju datang ke perhimpunan Bantah 501 kerana tidak puas hati dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST.
"Tindakan kerajaan melaksanakan GST ini akan membebankan rakyat," katanya.Beliau menyifatkan sambutan hebat orang ramai terhadap perhimpunan itu membuktikan majoriti rakyat tidak berpuashati dengan tindakan kerajaan melaksanakan GST.
"Perhimpunan hari ini nampaknya berjalan aman tanpa gangguan mana-mana pihak. Dari Wangsa Maju saya anggarkan kehadiran antara 200 hingga 300 orang," katanya.
Mustafa Abdul Rahman, 54, datang ke Kuala Lumpur dari Muar dengan bas sewa khas. Suasana perhimpunan, ujarnya menggambarkan bantahan majoriti rakyat terhadap rancangan kerajaan untuk melaksanakan GST.
"Kerajaan perlu prihatin dengan suara hati rakyat ini memandangkan GST tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang," tegasnya.
Beliau bersyukur kerana perhimpunan berjalan dengan baik dan para peserta memahami kenapa perlu menolak GST.
"Mood orang ramai untuk menolak GST sangat kuat. Saya harap kerajaan akan prihatin terhadap ketidakpuasan hati rakyat terhadap GST," ujarnya.
Suara akar umbi rakyat membuktikan GST bukanlah regim cukai yang patut dipertahan dan dilaksanakan kerajaan.
Kerajaan yang prihatin pastinya mendengar suara hati rakyat dan tidak berlagak 'pekak badak' untuk mendengar dan melayani rintihan rakyat. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan