SPECIAL ADS

19 Mac 2013

Anwar saman Papa Gomo RM100 Juta


PETALING JAYA 19 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan saman ke atas blogger pro-Umno, Papa Gomo yang menyebar gambar lucah menyerupai Ketua Umum KEADILAN di rangkaian media sosial.
Peguam Anwar, N Surendran dalam kenyataan tengahari ini berkata, Anwar menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris, pemilik blog Papa Gomo dalam tuntutan itu, sebagai individu bertanggungjawab menyebar tuduhan liar yang mengaitkan beliau dengan video seks palsu.
“Saya telah arah pasukan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas blogger pemfitnah yang mempunyai kaitan rapat dengan Umno,” kata Anwar di twitter hari ini.
Penyebaran gambar fitnah itu diterbitkan blog tersebut pada 16 Mac lalu. “Penyebaran gambar dan video lucah itu seolah-olah menjadi budaya politik kotor yang sering dilakukan Umno dan blogger mereka".
“Hari ini kita menghantar surat tuntutan kepada beliau,” kata Surendran.
Dalam tuntutan itu, Papa Gomo dikehendaki menarik balik tuduhan berniat jahat, meminta maaf dalam tempoh 48 jam mulai hari ini, dan membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta.
“Tuntutan saman itu dikenakan berikutan hubungan rapat antara Umno dengan blogger tersebut,” jelas Surendran.
Surendran mendakwa, Papa Gomo mempunyai hubungan baik dengan pemimpin kanan Umno termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, blogger berkenaan turut mendapat kebenaran akses khas terhadap kapal selam Scorpene KD Tun Razak ketika tercetus kontroversi antara BN dan Pakatan Rakyat berkaitan keupayaan kapal selam berkenaan.
“‘Tangan ghaib’ Umno jelas terlibat di sebalik serangan terbaru yang jijik dan kotor ini bertujuan memburukkan reputasi pemimpin Pakatan Rakyat.
“Pergantungan Umno kepada budaya politik kotor dan blogger yang diragui menonjolkan keruntuhan moral dan etika. Ia membuktikan Umno BN tidak layak untuk terus memerintah dan mentadbir negara,” tambah Surendran.
Fitnah terbaru itu disebar kira-kira seminggu selepas Azlan Md Lazim, bapa kepada Saiful Bukhari membuat pengakuan betapa kes Fitnah II hanya konspirasi politik untuk memenjarakan Anwar.
Bagaimanapun, individu dalam gambar berkenaan kelihatan tegap dan terlalu muda tanpa kedutan berbanding susuk lelaki berusia 65 tahun seperti Anwar.
Ia mungkin cubaan blogger pro-Umno untuk membaiki kesilapan pada rakaman video yang direka trio Datuk T, diketuai ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay pada 2011 yang memapar individu berperut buncit.

Tiada ulasan: