SPECIAL ADS

6 Jun 2014

DAP mahu SPR jelaskan percanggahan keputusan PRK Teluk Intan

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata jumlah keluar mengundi yang dikeluarkan SPR secara rasmi adalah 40,242 termasuk 392 pengundi awal, tetapi keputusan akhir menunjukkan terdapat 40,619 mengundi dalam PRK Sabtu lalu. – Gambar fail, 6 Jun, 2014.  ‎
DAP mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan mengapa terdapat percanggahan dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei lalu.
Menurut Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming, jumlah keluar mengundi yang dikeluarkan SPR secara rasmi adalah 40,242 termasuk 392 pengundi awal, tetapi keputusan akhir menunjukkan terdapat 40,619 mengundi dalam PRK Sabtu lalu.
"Ini menunjukkan terdapat percanggahan 377 undi antara apa yang diumumkan secara rasmi (40,242) dan keputusan akhir (40,619). Jumlah ini melebihi undi majoriti yang diperolehi calon Barisan Nasional (BN) sebanyak 238 undi," kata Ong dalam satu kenyataan awal pagi ini.

‎Menurut Ong, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sudah menulis surat kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk meminta penjelasan.
Dalam PRK Teluk Intan pada 31 Mei lalu, calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud tewas kepada calon BN Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti tipis, 238 undi.
Katanya pada PRK Teluk Intan lalu kira-kira 5.30 petang, SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi ialah 39,850 pengundi di mana sekiranya dikira sekali dengan pengundi awal iaitu 392 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 40,619.
"Kami menunggu jawapan beliau untuk membolehkan perbincangan lanjut dilakukan bersama peguam parti. Peguam kami juga menyarankan agar kami tidak berkata apa-apa sehingga mendapat maklum balas rasmi daripada SPR.
"‎Setiausaha agung kami mendesak untuk mengetahui kebenaran berkenaan dengan isu ini," katanya.
Ong juga turut menjelaskan tindakan DAP yang tidak menuntut kiraan semula dilakukan ‎ ke atas majoriti kecil iaitu 238 undi yang disenangi calon BN biarpun penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain mendesak parti itu melakukan bantahan.
Ini kerana pengiraan semula hanya boleh dilakukan  stesen pusat pengiraan undi‎ individu dan sebelum borang 14 dikeluarkan iaitu satu dokumen penentu keputusan undi di setiap pusat pengiraan.
"Berdasarkan‎ Pilihan Raya (Pengendalian Pilihan Raya) Peraturan 1981, Perkara 25, Seksyen 13 sekiranya terdapat perbezaan di antara jumlah pengundi bagi dua calon yang pertama kurang 4% dari jumlah keseluruhan pengundi maka calon atau ejen pilihan raya boleh meminta pengiraan diadakan semula.
"‎Meskipun ejen pengiraan kami merupakan individu berpengalaman namun tidak ada arahan khusus buat kepada mereka untuk pengiraan semula sekiranya terdapat perbezaan selama 4%," katanya.
Antara lain tambah beliau sekiranya DAP menuntut pengiraan semula dilakukan namun mengikut Perkara 25, Seksyen 13 ia tidak boleh dikira sekali dengan undi yang rosak dan ditolak.
"Mereka hanya boleh mengira undi yang sah di mana ia berkemungkinan akan menyebabkan peluang mengubah pengiraan undi terakhir adalah amat kecil."
Katanya lagi dengan mengadakan pengiraan semula, ia juga turut akan merisikokan DAP di mana kemungkinan lebih undi akan berpihak kepada calon BN.
Ong berkata ‎buat masa kini, DAP hanya boleh meminta pegawai pengurus untuk memeriksa kembali jumlah keseluruhan pengundi berdasarkan borang 14.
"DAP mengumpul kesemua borang 14 daripada ejen pengiraan kami dan mengesahkan bahawa keputusan akhir sepertimana diumumkan SPR sememangnya betul dan selaras dengan borang 14," katanya. TMI

Tiada ulasan: