SPECIAL ADS

7 Jun 2014

Lemahkah MB Johor hingga wujudkan LPHJ, libatkan Sultan?

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan apakah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terlalu lemah pentadbirannya sehingga terpaksa mewujudkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) dan melibatkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kerajaan negeri?
Dalam Analisis Mingguan akhbar itu, Awang Selamat berkata, ramai pihak gusar apabila Khaled menegaskan bahawa Rang Undang-Undang bagi menubuhkan LPHJ akan tetap dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, esok.

“Cuma yang menjadi persoalan, lemahkah pentadbiran negeri sehingga terpaksa mewujudkan LPHJ dengan penglibatan Sultan?” soal akhbar itu dalam ruangan Bisik-bisik Awang Selamat yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia hari ini.

“Apakah ada jaminan tiada campur tangan Sultan walaupun menteri besar menekankan bahawa beliau tetap ada kuasa eksekutif? Bab inilah yang lebih dikhuatiri.”

Menurut Awang Selamat, tindakan Khaled bercanggah dengan suara pelbagai pihak, termaasuk badan-badan bukan kerajaan, tokoh akademik, penganalisis perundangan, politikus hinggalah kepada negarawan.

“Jika mahu mengambil semangat demokrasi memandangkan isu tersebut mempunyai implikasi besar, elok ia ditangguhkan.

“Tidak rugi apa-apa dan untuk apa tergesa-gesa. Dapatkanlah terlebih dahulu maklum balas pelbagai pihak, terutama rakyat Johor sama ada mahu berpegang kepada Raja Berkuasa Mutlak atau Raja Berperlembagaan,” katanya.

Menurut Awang Selamat, desas-desus berlegar di Johor bahawa Khaled dikatakan terikat tangannya dan lebih akur kepada banyak campur tangan istana, terutamanya dalam pembangunan hartanah.

“Awang tidak pasti sejauh manakah kesahihannya. Mungkin ada asas kebenaran, atau ia sekadar persepsi yang berlegar begitu meluas.

Tetapi sebahagian rakyat Johor resah dengan perkembangan di negeri itu.

“Mereka berkongsi banyak cerita dalam sektor hartanah dan kebocoran maklumat daripada para pegawai awam negeri yang membuak-buak rasa tidak senang. Lalu timbul dakwaan liar merumuskan Khaled lemah dan asyik tunduk,” katanya.

Awal minggu ini, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Ibrahim akan terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri apabila satu rang undang-undang LPHJ akan dibentangkan dalam sidang DUN pada Isnin.

Tindakan kerajaan Johor itu mendapat tentangan pelbagai pihak, termasuk bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang mengatakan hal ini berpotensi menjejaskan kepentingan jangka panjang rakyat di negeri itu serta warga Malaysia secara amnya.
"Selaku rakyat Johor yang berkhidmat lebih 30 tahun membangunkan ekonomi Johor menerusi JCorp, saya tidak setuju dan percaya ramai rakyat turut menentang rang undang-undang LPHJ dibentang untuk pertimbangan DUN Johor.
"Jika diberi kuasa undang-undang penuh kepada Sultan Johor mencampuri urusan pentadbiran, ia secara langsung akan mencemarkan kedudukan baginda dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pemberian kuasa kepada sultan untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Katanya, kerajaan bertangungjawab kepada semua dasar pentadbiran, kecuali hal berkaitan agama.

“Sekiranya ada kuasa yang tidak betul, siapa yang harus bertanggungjawab? Contohnya dalam pemerintahan kerajaan persekutuan, jika sultan berkuasa, apa pula peranan perdana menteri?

“Raja berkedudukan di atas dan mempunyai kuasa agama, tetapi soal pentadbiran bukan kerja baginda,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Khaled berkata rang undang-undang LPHJ tetap akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Isnin ini, walaupun mendapat pelbagai reaksi dan tentangan segelintir pihak.

Menteri besar Johor itu berkata, rang undang-undang baru itu tidak melanggar konsep Raja Berperlembagaan di negara ini, kerana akan dibacakan bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor. TMI

Tiada ulasan: