SPECIAL ADS

16 Jun 2014

Rekod cemerlang Ku Li tidak diakui

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah telah membina nama sebagai seorang yang diakui sebagai seorang planner yang berkesan untuk membentuk dasar dan pembangunan negara. 

Nama beliau dijulang oleh masyarakat antarabangsa dengan terpilihnya beliau sebagai satu-satu pimpinan yang luar dari Amerika Syarikat yang dipilih sebagai Pengerusi Bank Dunia, tulis Aspan Alias di dalam blognya. 

Menurutnya, dalam usia yang masih muda Ku Li diakui sebagai seorang yang mempunyai kepimpinan dalam bidang kewangan dan akhirnya mampu untuk menjadi pengerusi kepada Bank Dunia.

Dalam masa yang sama Ku Li juga mengetuai Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Islam yang berpusat di Jeddah serta Bank Pembangunan Asia yang berpusat di Manila sebagai pengerusinya yang juga Pengerusi  IMF semasa itu. 

Dalam lain-lain perkataan, ujarnya Ku Li telah mengetuai empat institusi kewangan antarabangsa yang berlainan fungsinya dan ini merupakan rekod kecemerlangan anak watan negara kita di peringkat antarabangsa.

"Rekod kejayaan ini tidak mungkin dapat disaingi oleh sesiapa setidak-tidak dalam beberapa dekad yang akan datang baik oleh mereka dari negara kita mahu pun masyarakat peringkat antarabangsa," ulasnya lagi.

Tambahnya, rekod itu tidak disiarkan atau diakui oleh pimpinan tempatan kerana kejayaan Ku Li dalam bidang-bidang yang berbagai itu tidak digemari oleh sesama pemimpin di negara ini.

Ini, ujarnya kerana apa yang disebutkan sebagai yang berjiwa fakir dan tidak mahu mengakui kehebatan dan kejayaan rakan dalam parti dan kerajaan pimpinannya.

Menurut Aspan lagi, kejayaan Ku Li yang begitu besar itulah yang membunuh politiknya sendiri kerana perasaan amarah yang begitu menebal dalam kalangan beberapa orang pemimpin yang berjiwa fakir tadi. 

"Ada orang yang tidak merasa senang dengan kejayaan seorang pemimpin yang secara 'natural' boleh mendampingi dan bersaing di peringkat antarabangsa itu," tulisnya. HD

Tiada ulasan: