SPECIAL ADS

30 Jun 2014

Isu Prof Redzuan: Majlis Profesor perlu bangkit

IMAGE
KUALA LUMPUR: Tiba masanya Majlis Profesor Negara (MPN) perlu bangkit menyatakan bantahan terhadap campur tangan penguasa politik dalam tadbir urus dan tata kelola universiti, kata Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).

"Di mana suara mereka bagi melindungi lembaga akademik bukan sahaja dalam sains politik bahkan ke semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan pendidikan. Para akademik perlu bebas untuk nyatakan kritikan," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut berhubung penyingkiran Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, Dzulkefly berkata, tindakan ini sekali gus akan melahirkan budaya takut di kalangan para akademik dan juga mahasiswa untuk menyatakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

Akhirnya, tambah beliau akan wujudnya pula politik membodek kerana takut untuk menyatakan kritikan kepada kerajaan sekali gus melahirkan para akademik bertaraf 'profesor kangkung'.

"Mereka tidak boleh berkreativiti dan berinovasi, akhirnya hasil kajian tidak ada kualiti. Prestasi universiti kita pula akan merundum, dan inilah realiti universiti kita," katanya yang juga bekas pensyarah.

Katanya, segala campur tangan politik di dalam bidang akademik akan merudumkan institusi pengajian awam negara.

Jika keadaan ini berterusan katanya, kegemilangan Universiti Malaya yang pernah menduduki tempat ke-100 di antara universiti di dunia akan tinggal kenangan sahaja. 

"PM cakap transformasi ianya semua adalah retorik semata mata. Transformasi dalam pendidikan nyata dirosakkan sama sekali dengan insiden hari ini. 

Justeru tegasnya, Menteri Pendidikan wajar bertanggungjawab terhadap pemecatan Prof Redzuan bagi menutup kononnya pemecatan itu bukan kerana campur tangan politik.

"Ini bukan soal parti, ini adalah kelangsungan dan kecemerlangan sebuah universiti," katanya yang turut memuji tindakan Datuk Saifuddin Abdullah yang turut meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) hari ini kerana protes.

Pentadbir Universiti Malaya telah 'menyingkirkan' Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Penyingkiran itu dibuat atas alasan beliau akan bersara tahun depan.

Profesor Redzuan yang mengetuai UMcedel sering mengadakan kajian politiknya termasuklah beberapa siri pilihan raya umum dan kecil, namun hasil kajian yang dijalankan dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. 

Tiada ulasan: