SPECIAL ADS

13 Jun 2014

Sah Umno main wayang: Usul hudud ditarik balik

KUALA LUMPUR: Bidasan PAS Selangor terhadap cadangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN daripada Umno untuk mengemukakan usul pelaksanaan hukum hudud di negeri ini tepat apabila parti itu membuat pusingan-U apabila menarik balik usul yang dikemukakan.

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias memberitahu telah menarik balik usul  mengenai kebarangkalian pelaksanaan hudud di Selangor hari ini kerana mendakwa "timbul banyak kekeliruan".

Jelas Shamsudin, usul berkenaan ditarik balik kerana ia masih boleh ditanya dalam sesi perbahasan dan tidak perlu dikemuka melalui usul khusus.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Adun Sungai Burong itu berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan pemimpin BN Selangor.

"Ia bukan rang undang-undang persendirian. Ia hanya bertanya kepada kerajaan (negeri) sama ada mereka mahu laksanakan hudud (atau tidak).

"Kalau macam ini, kita boleh tanya dalam perbahasan," katanya.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh sebelum ini mengumumkan menerima tiga usul dikemukakan wakil BN untuk sidang akan datang termasuk pelaksanaan hudud.

Tindakan Hannah itu dilihat pemerhati politik telah meletakkan Umno dalam dilema kerana menerima kritikan hebat sekutunya dalam BN iaitu MCA dan Gerakan.

Shamsudin menjelas lanjut, kekeliruan timbul sebelum ini apabila ramai pihak menyangka BN Selangor memajukan usul untuk melaksanakan hudud di Selangor.

Beliau seterusnya menyalahkan akhbar berbahasa Cina yang menumpukan perkara itu.

"Saya fikir silap faham ini berlaku kerana terlalu banyak akhbar Cina menghubungi saya untuk bertanya tentangnya," katanya tanpa menyebut nama akbar tertentu.

Menurutnya juga, tindakan menarik balik usul selepas ia diluluskan speaker untuk dibahaskan juga adalah satu perkara biasa.

"Itu perkara biasa. Usul ini, kalau kita tengok dalam sidang Dun dan Parlimen boleh ditarik sebelum atau pada tarikh ia akan dibacakan," katanya.

Sebelum ini, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik membawakan usul itu di bawah Peraturan 26, Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

Usul tersebut berbunyi:

"Bahawa Dewan yang mulia ini menggesa kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama Persekutuan".

Pesuruhjaya PAS negeri, Iskandar Abdul Samad sebelum ini mempersoalkan tindakan Adun Umno itu dan menyifatkannya sebagai  "hanya bermain politik”.

“Kenapa baru sekarang Umno hendak cadang bentang di Dewan? Mereka ada lebih 50 tahun (memerintah Selangor) tetapi tidak melakukannya?

“Hanya setelah mereka menjadi pembangkang di Selangor barulah mereka hendak bercakap tentang hudud?” ulas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, PAS telah mengadakan penerangan kepada rakyat tentang hukum jenayah syariah dan meluluskan enakmen berkaitan sebaik sahaja mendapat kuasa di Kelantan.

“Di Terengganu pula, kerajaan BN negeri telah menolak pelaksanaan hudud di negeri itu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sekali lagi menegaskan bahawa Umno perlu melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negeri yang dikuasai mereka jika benar-benar ikhlas ingin mendaulatkan syariat Islam dan tidak hanya bermain politik. HD

Tiada ulasan: