Bekas Presiden Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata kenyataan kononnya menteri besar memegang kuasa mutlak walaupun rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) diluluskan tidak benar. – Gambar The Malaysian Insider, 8 Jun, 2014.Bekas Presiden Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin akan terpaksa mengikut telunjuk Istana Johor jika rang undang-undang kontroversi perumahan diluluskan.
Kenyataan kononnya menteri besar memegang kuasa mutlak walaupun rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) diluluskan tidak benar, bahkan Muhammad Ali berkata berdasarkan pengalamannya, Sultan Johor bebas masuk campur dalam pentadbiran negeri.
"Pengalaman peribadi saya di JCorp jelas membuktikan kuasa mutlak menteri besar selaku Pengerusi Jcorp pernah dikompromikan pemimpin politik negeri.
"Pengerusi JCorp ketika itu, sekali pun berkuasa eksekutif penuh, gagal atau takut menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepadanya dan lebih berminat mematuhi sepenuhnya apa yang beliau katakan sebagai ‘Titah Sultan Johor’,” kata beliau seperti dipetik dalam Malaysia Gazette hari ini.
Beliau juga mengkritik kerajaan negeri Johor yang tidak tegas dalam menangani isu campur tangan Istana Johor dalam pentadbiran.
"Perkara ini sepatutnya tidak timbul jika penguasa politik negeri proaktif, terlebih dahulu bertindak tegas mempertahankan Perlembagaan negara dan tidak mengkrompomikan status Sultan Johor sebagai Raja Berperlembagaan tanpa kuasa mutlak," katanya.
Beliau membayangkan keadaan lebih buruk akan berlaku sekiranya cadangan tersebut diteruskan pada ketika kuasa Sultan sememangnya sudah luas.
"Jika dibiarkan Sultan Johor mencampuri urusan pentadbiran negeri secara langsung, ia akan memburukkan lagi keadaan yang sejak kebelakangan ini banyak terjejas akibat campur tangan baik secara langsung atau tidak langsung dari Istana Johor," kata Muhammad Ali.
Beliau juga memberi amaran kepentingan rakyat Johor bakal berdepan ancaman sebaik Sultan memiliki kuasa besar khususnya dalam isu tanah di negeri Johor.
"Bukan itu sahaja, malah ia pasti akan merosakkan kepentingan besar rakyat Johor, terutamanya apabila terdapat campur tangan dalam pentadbiran tanah atau urusan GLC negeri.
"Rakyat Johor kini semakin bimbang melihat tanah dan harta serta perniagaan strategik milik Johor terlepas kepada kepentingan asing atau milik individu terpilih, dengan mengetepikan kepentingan jangka panjang rakyat dan negara," katanya.
Jika rang undang-undang tersebut diluluskan, tidak mustahil segala tindak-tanduk atau keputusan oleh Sultan tidak akan dipersoalkan walaupun melibatkan kepentingan awam.
"Rakyat Johor sudah banyak menyaksikan keputusan kerajaan kebelakangan ini yang tidak disenangi ramai.
"LPHJ hanya akan menambahkan kekeruhan situasi di Johor kerana apabila kedudukan Raja Berlembagaan dikompromikan, ia berpotensi lebih merosakkan dan menjejaskan kepentingan jangka panjang rakyat Johor, khasnya dan warga Malaysia amnya," katanya.
Muhammad Ali sebelum ini juga menimbulkan kontroversi dengan Istana Johor apabila memulangkan kembali tiga darjah kebesaran negeri Johor susulan kritikannya secara terbuka kepada Istana Johor.
Menteri Besar Johor, baru-baru ini mengesahkan kerajaan negeri akan membentang Rang Undang-Undang LPHJ, jika diluluskan, akan menyaksikan pembabitan sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berkata cadangan pembentangan satu enakmen baru bagi penubuhan LPHJ mestilah membawa kebaikan, manfaat dan melindungi kepentingan semua terutama rakyat.
Najib menegaskan enakmen itu juga mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta amalan demokrasi negara ini. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan