SPECIAL ADS

6 Jun 2014

Kerabat Diraja ‘mengepak kuasa’ ketika Putrajaya lemah

Perubahan yang ingin dilakukan di Johor tentang penglibatan Sultan Johor dalam pentadbiran negeri mungkin menjadi duluan yang merbahaya bagi Perlembagaan. – Gambar  fail, 7 Jun, 2014.
Inisiatif" Sultan Johor supaya terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri hanyalah contoh terbaru kerabat diraja menunjukkan kuasa tanpa rasa takut kepada kerajaan pusat, khususnya perdana menteri.
Sebelum ini, beberapa Sultan menggunakan kuasa untuk memilih menteri besar pilihan mereka sendiri dan menolak pilihan yang dikemukakan perdana menteri Barisan Nasional (BN).
Hari ini, perdana menteri dilihat sebagai lemah, tidak mampu membuat keputusan dan tidak berupaya menggunakan bidang kuasa yang ada untuk menghadapi para Sultan tentang keputusan mereka atau pengaruh yang semakin luas dalam pentadbiran negeri sehinggakan undang-undang baru dicadangkan untuk merasmikan kuasa mereka.
Keadaan berbeza semasa era Mahathir. Pada 1993, kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad berusaha mengurangkan kuasa sultan selepas dua insiden serangan.
Selepas hanya dua tahun berkuasa pada 1983, Dr Mahathir meluluskan undang-undang baru di mana Parlimen berhak mengatasi kuasa veto Raja yang mengubah proses pelulusan tiga-tahap di negara ini.
Kesannya, Dr Mahathir berjaya memperjelaskan apa maksudnya Raja Berperlembagaan bagi Malaysia.
Namun selepas dua dekad, kerabat diraja mula bersaing kembali untuk menuntut semula kekuasaan dan pengaruh mereka ke atas pentadbiran negeri.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu memberi pendapat beliau tentang perkara ini semalam, mengatakan bahawa "baru-baru ini adanya kecenderungan untuk mengendahkan Perlembagaan dan cubaan mengubahnya mengikut jalan pintas lain".
"Perlembagaan boleh diubah, tetapi terdapat prosedur untuk melakukannya. Tiada sesiapa yang boleh mengubahnya sendiri. Negeri-negeri tidak boleh mengubahnya, termasuk jugalah pemerintah, tanpa kelulusan Parlimen dan Kerajaan Persekutuan.
"Jika Perlembagaan diabaikan oleh sesiapa, ada yang akan mengikut langkahnya. Perlembagaan merupakan undang-undang asas negara ini. Apabila sesuatu perkara menjadi duluan, ia akan menjadi kebiasaan dan lantas menjadi asas untuk perubahan lain," katanya dalam tulisan blog popularnya Chedet.
Dr Mahathir berkata perubahan Perlembagaan sebegini mungkin membawa kepada penghinaan kepada kerabat diraja dan kaum Melayu mungkin akhirnya akan melepaskan budaya dan sokongan kepada Raja-raja Melayu jika situasi ini tidak terkawal, katanya merujuk secara tidak langsung kepada situasi di Johor.
Ini memang gaya Dr Mahathir, pantas bertindak walaupun selepas sedekad melepaskan jawatannya.
Namun kerajaan memerintah kini senyap, malah menggesa agar rang undang-undang tersebut diluluskan supaya Sultan boleh turut terlibat sama.
Mungkin pemerintah kini tahu BN memerlukan mereka terutamanya saat-saat ini semasa majoriti undi diterima semakin mengecil.
Sedangkan pihak pembangkang juga sudah maju menerima sokongan di Johor, tempat lahirnya Umno.
Oleh itu, BN perlulah memuaskan hati kerabat diraja sementara cuba memenangi sokongan rakyat sekali lagi untuk pilihan raya umum akan datang.
Namun adakah ia akan berhasil hanya selepas kehilangan identiti Malaysia, iaitu sebuah negara Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen?
'Inisiatif' Johor, jika diluluskan, akan mensia-siakan segala usaha pindaan 1983 dan 1993.
Itu juga kerana Putrajaya nampaknya tidak berkuasa untuk menghentikannya. TMI

Tiada ulasan: