SPECIAL ADS

24 Jun 2014

Tuntutan bertindih Pulau Batu Puteh


PERTIKAIAN mengenai status kedaulatan Pulau Batu Puteh mula tercetus pada tahun 1979 ketika Malaysia menerbitkan peta rasmi yang baru, dengan memasukkan Pulau Batu Puteh di dalam perairan wilayahnya.

Jarak Pulau Batu Puteh adalah lebih jauh dari titik terdekat Singapura (Changi) iaitu terletak 46 km (25 batu nautikal) berbanding hanya 14.3 km (7.7 batu nautikal) dari Johor (Tanjung Penyusop, Mukim Pengerang) Malaysia menegaskan berikutan daripada Perjanjian Inggeris- Belanda 17 Mac dan Perjanjian Crawfurd 2 Ogos 1824, apabila Kesultanan Johor menyerahkan Singapura dan 19 km (10 batu nautika) pulau-pulau serta perairan di sekelilingnya kepada pihak British, penyerahan ini sama sekali tidak termasuk Pulau Batu Puteh



Temenggung dan Baginda Sultan Johor ketika itu memberi kebenaran secara bertulis kepada pihak British untuk membina rumah api di atas pulau tersebut hanya pada tahun 1844. Ini sekali lagi membuktikan bahawa Kesultanan Johor sememangnya mempunyai kedaulatan serta penguasaan di perairan pulau terbabit.

Pihak koloni British dan kemudiannya Singapura hanya diberikan kebenaran mengurus rumah api tersebut bagi kepentingan industri perkapalan Singapura yang kurang penting bagi pihak Malaysia atau Malaya pada masa itu.

Ini memandangkan tiadanya pelabuhan utama di Johor serta kebergantungan kebanyakan pedagang-pedagang Inggeris di Tanah Melayu ketika itu kepada kemudahan pelabuhan tukar barang Singapura untuk mengeksport hasil perdagangan mereka.

Singapura pula mengemukakan dakwaan bahawa mereka telah menguasai pulau tersebut semenjak tahun 1840-an tanpa sebarang tentangan dan halangan oleh pihak Malaysia.

Sikap berdiam diri serta mengelak dari menggunakan pendekatan konfrontasi oleh Malaysia berdasarkan semangat setiakawan dua negara yang berjiran itu sebaliknya telah digunakan dengan sebaiknya di dalam penggulungan hujah pihak Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang akhirnya dengan persetujuan 12-4 memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh milik Singapura sementara 15-1 mengesahkan Batuan Tengah milik Malaysia.

Manakala status Tubir Selatan pula akan ditentukan kemudian berdasarkan di perairan mana ia terletak.

Perjalanan Kes

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menetapkan untuk mendengar kes pertikaian antara Malaysia dengan Singapura berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge), yang terletak di perairan luar pantai Johor, pada 6 November 2007 di The Hague, Belanda.

Pendengaran bermula dengan ucapan pembukaan oleh keduadua pihak sebelum penyampaian hujah lisan oleh Singapura pada hari pertama.

Singapura diberikan empat hari (6-9 November) untuk menggulung hujah lisan pusingan pertama, sementara Malaysia diberikan giliran pada minggu berikut iaitu pada 13 hingga 16 November 2007.

Ini diikuti dengan hujah lisan dua hari pusingan kedua oleh Singapura pada 19 dan 20 November dan Malaysia pada 22 dan 23 November.

Keputusan penghakiman hanya diumumkan pada 23 Mei, 2008.

Delegasi Singapura

Pelbagai bukti sokongan telah dikemukakan seperti peta, gambar-gambar, dan rakaman suara telah dikemukakan oleh pasukan Singapura yang diketuai oleh Tommy Koh – Duta Kelana di Kementerian Luar Republik Singapura. Beliau juga merupakan profesor undang-undang di Universiti Kebangsaan Singapura, Chao Hick Tin – Peguam Negara, S Jayakumar – Timbalan Perdana Menteri Singapura.

Delegasi Malaysia

Ketua Delegasi Malaysia ialah Tan Sri Abdul Kadir Mohamad – Duta Kelana, juga Penasihat Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Luar Malaysia. Beliau akan menjadi wakil Malaysia bagi kes itu, Dato’ Noor Farida Ariffin – Duta Besar Malaysia ke Belanda, bertindak sebagai wakil bersama, Tan Sri Abdul Gani Patail – Peguam Negara, ketua pasukan undang-undang.

Delegasi Malaysia turut disertai oleh Sir Elihu Lauterpacht – profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge, James Crawford – profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge, Nicolaas Jan Schrijver – profesor Undangundang Antarabangsa Awam, Universiti Leiden, Marcelo G Kohen – profesor Undang-undang Antarabangsa, Graduate Institute of International Studies, Geneva, Penelope Nevill, pensyarah Downing College, Universiti Cambridge.

Ada 16 hakim yang telah mengundi bagi menentukan kedudukan kes ini: Awn Shawkat Al-Khasawneh, Raymond Ranjeva, Shi Jiuyong, Abdul G Koroma, Gonzalo Parra Aranguren, Thomas Buergenthal, Hisashi Owada, Bruno Simma, Peter Tomka, Ronny Abraham, Kenneth Keith, Bernardo Sepulveda Amor, Mohamed Bennouna, Leonid Skotnikov, Christopher SR Dugard (Hakim ad hoc dilantik oleh Malaysia), Pemmaraju Sreenivasa Rao (Hakim ad hoc dilantik oleh Singapura).

Presiden ICJ Hakim Rosalyn Higgins tidak layak menjadi hakim kerana pernah mewakili Singapura.

Hujah Singapura

Lukisan artis tahun 1882 menunjukkan Pedra Branca sebelum Rumah Api Horsburgh dibina diatasnya. Dipercayai John Turnbull Thomson telah memeberi kebenaran kepada artis, Kapten Thomas Robertson, untuk menghasilkan lukisan berdasarkan kepada lakaran tahun 1850 oleh Thomson.

Surat dari pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 menyatakan bahawa Johor “tidak membuat apa-apa tuntutan pada Pulau Batu Puteh”. Namun tiada salinan kepada Baginda Sultan Johor sebagai ketua negeri seperti kelazimannya.

Hujah Malaysia

Pelbagai bukti seperti peta dan dokumen berdasarkan latarbelakang sejarah dan prinsip undang-undang antarabangsa seperti penemuan, pemisahan, pertambahan, serahan, serta peraturan “uti possidetis” iaitu sempadan negara-negara baru merdeka berdasarkan sempadan wilayah jajahan lama, kesinambungan dan kesamaan sempadan.

Menteri Besar Johor (ketika itu), Dato’ Abdul Ghani Othman dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor diberi taklimat oleh Wisma Putra dan Menteri Luar, Dato’ Seri Syed Hamid Albar pada 20 Ogos 2006. Malaysia sebagai sebuah negara yang matang terhadap proses mahkamah akan menerima dengan baik sebarang keputusan yang akan ditetapkan oleh ICJ.

Sebelum ini Malaysia meminta Indonesia menerima hakikat bahawa Pulau Sipadan di perairan Laut Sulawesi adalah milik Malaysia setelah diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Tiada ulasan: