SPECIAL ADS

24 Jun 2014

Radar Malaysia silap bacaan ketinggian MH370, lapor New York Times

Pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak berada pada kedudukan 45,000 kaki kemudian menurun ke 23,000 kaki sebelum lenyap, kata penyiasat antarabangsa, bertentangan dengan laporan memetik radar ketenteraan Malaysia.
Akhbar New York Times berkata, penyiasat mendapati pesawat itu turun naik seperti yang dipercayai mereka, namun kekal dikawal selama beberapa jam selepas gagal dihubungi, sehingga kehabisan minyak di sekitar Selatan Lautan Hindi.
Mereka membuat kesimpulan berkenaan selepas pemeriksaan semula data tentera dan ping antara pesawat dan satelit Inmarsat sepanjang garisan khatulistiwa, yang menunjukkan bacaan altitud radar tidak tepat.
Semakan antarabangsa mendapati radar Malaysia tidak dikalibrasi untuk membolehkan bacaan tepat.
Sedangkan kebanyakan radar tentera mampu mengesan altitud dan memberi bacaan tepat kedudukan pesawat, kelajuan dan arah, peralatan itu perlu dikalibrasi berdasarkan keadaan atmosfera tempatan, kata New York Times.
"Radar utama merujuk kepada altitud tidak boleh dipercayai," kata Angus Houston, pesara tentera Australia yang mengetuai operasi pencarian di Selatan Lautan Hindi.
Bacaan radar menunjukkan pesawat menjangkau altitud maksimum iaitu 43,100 sebelum turun di kawasan pergunungan, dan naik semula 23,000 kaki atau lebih di Selat Melaka.
Houston bagaimanapun memberitahu New York Times dia ragu-ragu sama ada individu mempunyai bukti pesawat turun naik berdasarkan laporan.
"Tiada yang boleh dipercayai mengenai ketinggian," kata Martin Dolan, Ketua Komissioner Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.
Penolakan data altitud radar membawa perubahan dalam fokus carian, kerana bahan api pesawat akan kekal lama jika mengekalkan kedudukannya.  TMI

Tiada ulasan: