Majlis Peguam Malaysia hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan saman fitnah ke atas portal berita Malaysiakini.
Presidennya, Christopher Leong berkata mana-mana ahli politik tidak boleh menjadikan tindakan saman ke atas artikel yang mewakili pandangan rakyat sebagai satu jawapan membalas kritikan tersebut sama ada ia benar atau tidak.
"Ini merupakan kali pertama perdana menteri di Malaysia bertindak menyaman portal media kerana menyiarkan laporan artikel pandangan orang ramai walaupun ia boleh dijawab sendiri oleh Najib.
"Tindakan itu mewujudkan tanggapan yang tidak baik dan perdana menteri serta ahli partinya menyampaikan mesej salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sekiranya merasakan berita yang dikeluarkan portal itu yang mengumpul pendapat orang ramai mengenai pandangan kerajaan berunsur fitnah adalah lebih wajar perdana menteri dan partinya itu menggunakan ruang sama menjawab kembali laporan itu.
"Mereka sepatutnya menerima kritikan itu dengan kenyataan balas meskipun meyakinkan, atau salah sama sekali," katanya.
"Daripada menyaman perdana menteri sepatutnya menggunakan peluang ini untuk berhubung dengan rakyat membuat penjelasan, berdebat yang dilihat sebagai tindakan betul membetulkan reputasi," katanya.
Selain itu Leong turut memberikan contoh melalui kes saman ahli politik Amerika Syarikat dalam kes New York Times Co v Sullivan di Mahkamah Tinggi negara itu yang membuat keputusan menolak saman tersebut apabila ia bercanggah dengan kepentingan umum.
"Dalam kes Majlis Privivi di Hector v Peguam Negara Antiqua dan Barbuda menyatakan dalam negara demokrasi yang bebas mereka yang memegang peranan dalam pejabat kerajaan dan mentadbir mesti terbuka untuk dikritik," katanya.
Antara lain Leong juga menegaskan sumber dan dana awam sama sekali tidak boleh digunakan membayar perbelanjaan kes saman berkenaan dengan kritikan rakyat ke atas pentadbiran kerajaan.
"Sekiranya perdana menteri merasakan kritikan itu salah jawablah secara terbuka dan biarlah rakyat yang memutuskan," katanya.
Dalam kes saman terhadap Malaysiakini, Najib dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini.com, Steven Gan dan Ketua Pengarang Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Writ saman difailkan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada Jumaat lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam pernyataan tuntutan, Najib dan Ab Rauf mendakwa ketiga-tiga defendan melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan bertajuk "A case of the PM reaping what he sows" dan "How much will Najib spend to keep Terengganu?".
Kedua-dua artikel itu diterbitkan pada 14 Mei lalu dan ia dipaparkan ruangan "Yoursay" di laman web portal itu dan kemudiannya digabungkan menjadi berita utama. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan