SPECIAL ADS

30 Jun 2014

MH370: Menteri Pengangkutan perlu tubuh badan penyiasatan bebas segera

nurul izzah
SHAH ALAM : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menubuhkan badan penyiasatan bebas berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan segera.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata ia perlu dilakukan ekoran anggota keluarga penumpang dan anak kapal masih menunggu jawapan yang menjangkau lebih tiga bulan.
“Saya menyeru menteri untuk menubuhkan badan penyiasatan bebas terdiri daripada pakar penyiasatan kemalangan udara daripada seluruh dunia.
“Diharap dengan badan penyiasatan bebas ini, keluarga penumpang mendapat jawapan yang dicari serta kredibiliti Malaysia akan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media.
Izzah turut menggesa Tiong Lai mendedahkan laporan audit terhadap sistem radar Jabatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Grafik MAS
Katanya, sistem keselamatan KLIA2 turut dipersoalkan berulang kali dan mantan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga menyatakan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan menjalankan audit berkenaan keselamatan lapangan terbang itu.
“Skop audit ini masih lagi belum diketahui. Apakah benar audit ini dilaksanakan? Jika ya, saya meminta menteri mendedahkan laporan ini dengan segera.
“Antara tugasan menteri adalah menubuhkan badan penyiasatan bebas untuk insiden MH370, mendedahkan segera laporan audit ICAO berkenaan kerosakan sistem radar Lapangan Terbang Subang pada 12 September 2012 serta skop dan laporan audit ICAO ke atas KLIA2 yang dijanjikan timbalan menteri pada 16 Jun lalu,” katanya.
Beliau berkata, audit yang pernah disarankannya sejak tahun 2012 wajib dilaksana dan dibentangkan bagi memastikan negara tidak terkesan dengan sebarang kelemahan dan mengenalpasti tindakan, langkah susulan serta keselamatan bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan pemantauan ruang udara penerbangan awam.
“Kami sudah meminta sistem udara Malaysia diaudit Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Sehingga hari ini rakyat masih lagi menunggu apakah audit itu akan dilaksanakan.
“Apakah jika audit itu dijalankan dan saranan baik pulih dilakukan, pesawat MH370 tidak akan hilang pada hari ini kerana sistem radar lebih tepat. Demi keselamatan rakyat Malaysia dan pengunjung negara ini, saya menyeru menteri menyiasat sistem radar penerbangan awam,” katanya.

Tiada ulasan: