Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mendedahkan perjanjian konsesi penswastaan enam kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang mengatakannya tidak faham konsep inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dalam pembinaan kampus baru UiTM itu.
“Apabila perjanjian konsesi itu dapat diteliti oleh umum, barulah saya dan rakyat boleh memastikan bahawa tidak ada unsur keuntungan berlipat kali ganda yang diberikan kepada pemegang konsesi seperti yang berlaku dalam perjanjian-perjanjian konsesi lepas yang melibatkan penswastaan air dan lebuh raya.
“Jika Tan Sri Muhyiddin tidak bersedia untuk mendedahkan perjanjian konsesi itu, sampai bila-bila saya dan rakyat tidak akan faham akan sebab kerajaan Persekutuan mengikat perjanjian yang kosnya nanti akan membebankan UiTM.
"Sedangkan, ia lebih murah untuk membina sendiri kampus-kampus itu,” kata MP Pandan itu dalam kenyataan.
Menurutnya, Muhyiddin juga tidak faham akan intipati pendedahan yang dibuatnya berkenaan pembinaan kampus-kampus tersebut.
Muhyiddin semalam berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar akan menerangkan kaedah PFI yang digunakan dalam projek itu.
Menurut Muhyiddin, penerangan itu nanti sekaligus akan menepis dakwaan-dakwaan yang dibuat Rafizi.
Tegas Rafizi, beliau bukan menentang bulat-bulat kaedah PFI untuk membiayai projek kerajaan jika ia dibuat secara telus dan menguntungkan rakyat.
"Saya mempertikaikan perkara-perkara berikut - pertama, sebab penswastaan ini dibuat tanpa tender terbuka dan secara rundingan terus.
"Keenam-enam kampus UiTM diswastakan kepada syarikat milik pimpinan Umno yang kemudiannya melantik subkontraktor untuk mengendalikan projek.
"Kedua, kenapa sewa dan bayaran tahunan yang terpaksa ditanggung oleh UiTM ini adalah sehingga lima kali ganda lebih mahal daripada kos membina sendiri UiTM ini?
"Ketiga, berapakah margin keuntungan yang diberikan kepada syarikat pemegang konsesi?" tanya Rafizi.
Rafizi sebelum ini mendakwa 23 orang pemimpin Umno mendapat keuntungan berlipat ganda menerusi konsesi penswastaan enam kampus UiTM yang dibuat secara rundingan terus. mk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan