Dua jaringan kapten Belanda Robin van Persie dan Arjen Robben, selain gol Stefan de Vrij membantu skuad 'Oranje' membelasah 'La Roja', sekali gus membalas dendam kekalahan mereka kepada pasukan itu pada final Piala Dunia di Afrika Selatan 2010.
Kekalahan 5-1 ini merupakan 'upset' pertama yang berlaku di Piala Dunia kali ini malah merupakan kekalahan kedua terbesar Sepanyol dalam sejarah Piala Dunia selepas dibelasah 6-1 oleh Brazil pada 1950.
Bermula garang, Sepanyol langsung tidak memberi peluang Belanda memegang bola pada 20 minit pertama dengan trio pemain tengah Andres Iniesta, Xavi Hernandez dan Xabi Alonso yang dianggap terbaik di dunia.
Bagaimanapun ketiga mereka langsung tidak berupaya membuat cubaan dekat apabila penyerang kelahiran Brazil Diego Costa dilihat tidak efektif selain 'diboo' oleh seluruh pelusuk stadium setiap kali beliau mendapat bola.
Sepanyol hanya mampu menjaringkan gol apabila pengadil memberi sepakan penalti setelah Costa 'jatuh' dengan sentuhan minimal, persis tonggak La Liga yang terkenal dengan 'seni' lakonan ketika bermain yang amat tidak disenangi peminat bola sepak sebenar.
Namun tandukan terbang Van Persie seminit sebelum rehat hasil hantaran jauh pemain utiliti dari Ajax Amsterdam Danny Blind menyenyapkan terus pasukan Vincente Del Bosque.
Separuh masa kedua melihat bahagian tengah Belanda yang memiliki Jonathan De Guzman, Nigel de Jong dan Wesley Sneijder menjadikan padang milik mereka.
Benteng akhir Sepanyol yang diterajui Iker Casillas, Sergio Ramos dan Gerard Pique - yang sebelum berbangga apabila hanya dibolosi sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2013 - nampak hilang punca sehingga terpaksa dibantu pemain tengah yang tampak tiada masa melakukan 'tiki-taka' lagi.
Kekalahan kali ini mengesahkan betapa perlunya rencana permainan del Bosque dikemaskini atau mengubah corak dan taktikal apabila jelas 'tiki-taka' dianggap sudah tidak lagi berkesan.
Sebagaimana dimaklumi, pasukan bimbangan del Bosque sebelum ini tewas kepada Brazil pada Piala Konfederasi kerana corak 'tiki-taka' telahpun diketahui dan dihadam oleh pasukan lain.
Belanda yang tampak berlainan walaupun memiliki 16 pemain dari skuad naib juara 2010 dilihat lebih segar degan formasi 5-2-3 tetapi boleh berubah bila-bila masa mengikut keadaan.
Bagaimanapun ini bukan bermakna Sepanyol boleh dianggap terkeluar kerana empat tahun lalu, mereka turut kalah pada perlawanan pertama.
Tetapi mungkin penambahbaikan sistem dan menggantikan Costa dengan penyerang lebih baik akan mengubah nasib mereka selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan