SPECIAL ADS

17 Jun 2014

Sultan Selangor, Mais tidak berhak campuri urusan bukan Islam, kata pakar Perlembagaan

Dr Abdul Aziz Bari mengecam tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang berdegil terus menyimpan Bible berbahasa Melayu dan Iban milik Persatuan Bible Malaysia (PBM) kerana pihak berkuasa agama itu atau Sultan tidak berhak mencampuri urusan bukan Islam.
Pakar Perlembagaan itu berkata, soal beribadat dan cara amalan bukan Islam tidak berada di bawah bidang kuasa Mais dan Sultan yang hanya berkuasa terhadap soal melibatkan umat Islam.
"Sama ada Sultan atau Mais tidak ada hak untuk mengajar, mengacau atau menganggu cara bukan Islam mengamalkan agama mereka.
"Kuasa Sultan dan Mais hanya pada orang Islam sahaja, itu isunya sekarang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Majlis Agama Islam Selangor menyimpan Bible yang dirampas daripada premis Pertubuhan Bible Malaysia tanpa mendapat perintah mahkamah, kata Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari. Gambar fail The Malaysian Insider.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bagi mengemukakan cadangan pemulangan semula 321 Bible kepada PBM.
Beliau berkata, setakat ini tiada kesimpulan tercapai kerana masih mempertimbangkan beberapa pilihan lain.
"Antara pilihan lain sudah tentu ingin memulangkan tetapi proses kes ini mesti dilakukan dengan cara yang betul," katanya.
Abdul Aziz yang pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, situasi yang berlaku di Selangor menunjukkan Mais melanggar kuasa mereka.
"Ini melibatkan barang dan benda milik PBM, PBM ini bukan Islam, apa kuasa mereka ke atas bukan Islam?
"Sekarang mereka tidak mahu pulangkan, apa kuasa mereka hendak simpan," katanya.
Beliau berkata, Mais hanya boleh bertindak sebagai pengadu, tetapi tanggungjawab pendakwaan adalah kuasa peguam negara.
"Mais tiada kuasa undang-undang kerana yang mereka hanya sebagai pengadu atau buat laporan polis dan peguam negara," katanya.
Abdul Aziz berkata, walaupun Mais masih berdegil mahu menggunakan Enakmen Ugama Bukan Islam  (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 untuk buat pendakwaan, kuasa penuh masih di bawah peguam negara yang menutup kes tersebut.
Katanya, pendakwaan ke atas PBM hanya boleh dibuat di Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah memandangkan PBM persatuan bukan Islam.
"Walaupun enakmen itu di negeri Selangor tetapi ia dilaksanakan di Mahkamah Sivil dan pendakwaan dibuat oleh peguam negara," katanya.
Turut menjadi persoalan, Abdul Aziz membangkitkan Mais menyimpan Bible itu secara tidak sah kerana tidak mendapat perintah mahkamah.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata kemelut tersebut boleh diselesaikan jika Sultan menggunakan budi bicaranya untuk memulangkan Bible berkenaan.
"Mungkin campur tangan Sultan yang terbaik selepas isu ini tergantung," katanya.
Minggu lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tersalah langkah dalam rampasan kira-kira Bible berbahasa Melayu dan Iban di pejabat PBM dan mengatakan kes tersebut ditutup.
Bagaimanapun, Mais menolak keputusan tersebut dan berkeras untuk tidak memulangkan Bible itu.
Pengkritik dan pemimpin kerajaan Selangor dari Pakatan Rakyat (PR) juga membidas agensi agama negeri itu.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa Mais berunding dengan peguam negara jika ia berpendapat beliau perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan Bible oleh Jais.

Tiada ulasan: