SPECIAL ADS

8 Jun 2014

Pakar Perlembagaan bimbang konflik wujud jika Istana terlibat dalam pentadbiran

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata rang undang-undang baru itu akan menyebabkan kuasa yang diperuntukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkurangan, sekaligus menganggu pentadbiran negeri Johor jika ia diteruskan. – Gambar The Malaysian Insider, 8 Jun, 2014.
Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak konflik akan wujud antara Istana dan kerajaan sekiranya diberikan kuasa langsung dalam pentadbiran.‎
Aziz berkata tindakan tersebut akan menyebabkan kuasa yang diperuntukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkurangan, sekaligus menganggu pentadbiran negeri Johor jika ia diteruskan.
"Bagaimanapun, rang undang-undang ini memberi kuasa tertentu kepada Raja. Ini yang menimbulkan konflik.
"Inilah sebenarnya kebimbangan yang disuarakan; bahawa rang undang-undang ini berpotensi mengelirukan dan menyukarkan konsep pertanggungjawaban kerajaan kepada dewan," kata Aziz dalam edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia hari ini.
Aziz menegaskan menteri besar dilantik secara majoriti dalam DUN dan bukan menerusi perkenan Istana, maka merupakan satu kesalahan untuk seorang menteri besar tunduk kepada kuasa Raja.
"Konsep ini adalah konsep asas dalam kabinet berlandaskan sistem Westminster seperti Malaysia.
"Ini juga sebabnya mengapa salah untuk seorang menteri besar bergantung kepada Istana. Di sisi Perlembagaan, kekuatan perdana menteri atau menteri besar ialah sokongan majoriti dalam dewan, bukan perkenan Istana," katanya.
Menurut Aziz, sekiranya langkah tersebut diteruskan, tidak mustahil imej Istana juga akan tercemar.
"Saya lihat keterlibatan yang keterlaluan dalam hal-hal rutin dan duniawi hanya akan mengotorkan jiwa dan peribadi Raja," katanya.
Dalam pada itu, tokoh korporat Tan Sri Muhammad Ali Hashim, yang juga bekas Presiden Johor Corporation (JCorp) juga mengkritik langkah kerajaan negeri Johor untuk memberi kuasa kepada Raja.
"Selaku rakyat Johor yang berkhidmat selama 30 tahun lebih membangunkan ekonomi Johor menerusi JCorp, saya tidak setuju dan percaya ramai rakyat turut menentang rang undang-undang LPHJ (Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor)," kata Muhammad Ali dalam Mingguan Malaysia hari ini.
Muhammad Ali menegaskan langkah kerajaan negeri Johor tersebut akan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan Malaysia.
"Jika diberi kuasa undang-undang penuh kepada Sultan Johor mencampuri urusan pentadbiran, ia secara langsung akan mencemarkan kedudukan baginda dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini," katanya.
Muhammad Ali sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan Istana Johor apabila memulangkan kembali tiga darjah kebesaran negeri Johor susulan kritikannya secara terbuka kepada Istana.
Menurut Aziz, lebih membimbangkan lagi apabila Raja yang sememangnya diketahui mempunyai kuasa tidak boleh dipersoalkan sekiranya berlaku kesilapan atau kesalahan.
"Dalam bahasa yang mudah, jika berlaku kesilapan dan kelemahan, siapa yang hendak disoal?
"Sudah tentu kerajaan," katanya.
Beliau juga menggesa supaya Raja akur dan komited dengan Perlembagaan negara.
"Saya rasa apa yang penting ialah Raja itu akur dan komited dengan semangat yang dikandung oleh Perlembagaan," kata
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengesahkan kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), jika diluluskan, akan menyaksikan pembabitan sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi, termasuk tentangan sesetengah pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berkata cadangan pembentangan satu enakmen baru bagi penubuhan LPHJ mestilah membawa kebaikan, manfaat dan melindungi kepentingan semua terutama rakyat.
Najib menegaskan enakmen itu juga mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen di negara ini. TMI

Tiada ulasan: