Kemasukan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak bukan kerana prestasi mereka yang cemerlang menjuarai isu kaum Cina tetapi atas ihsan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Prof Dr Jayum Jawan.
Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah kedua-dua parti itu kini ditanggalkan kaum Cina dan bukan lagi suara kepada kaum itu.
“Nampak sangat politik Malaysia belum terlepas daripada kongkongan paradigma politik etnik atau politik perkauman yang diwarisi sejak 1960-an.
“Saya tidak fikir MCA dan Gerakan diberi jawatan kerana mereka mampu menuntutnya daripada Najib, sebaliknya saya melihat itu ihsan Najib berdasarkan realiti kedudukan mereka sebagai parti politik dalam BN,” katanya menerusi rencana di Utusan Malaysia.
Najib pada Rabu melantik Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagaimana dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan bulan lalu.
Beliau turut melantik Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai menteri pengangkutan dan timbalannya Datuk Wee Ka Siong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga lagi naib presiden MCA – Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun – masing-masing dilantik timbalan menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Jayum berkata, MCA dan Gerakan harus diingatkan pemimpin parti itu masuk ke dalam kabinet dengan penuh kelemahan dan tidak wajar membuat tuntutan kepada Najib.
Katanya, dua parti itu perlu segera membuat pembaharuan terutama dalam mengembalikan sokongan orang Cina.
“Apabila MCA dan Gerakan menaruh harapan dengan jawatan menteri baru parti itu boleh berdepan dengan masyarakat, maka itu silap dan salah dasar untuk memperjuangan kepentingan masyarakat mereka.
“Perdana menteri membawa mereka masuk kerana mahu menunjukkan kepada Malaysia beliau mengambil berat nasib masyarakat Cina walaupun Najib tahu kabinetnya bekerja untuk semua orang Malaysia,” katanya.
Pensyarah Universiti Putra Malaysia itu berkata, MCA dan Gerakan perlu sedar apabila berada dalam kabinet, semua keputusan perlu dibuat secara bersama dan perlu akur kepada keputusan majoriti.
Katanya, jika syarat itu enggan dipatuhi maka dua parti itu pada bila-bila masa juga boleh meninggalkan kabinet.
“MCA dan Gerakan perlu berterus terang dengan BN. Cara mereka perlu berhemah. Bukan tikam belakang seperti bercakap melalui media dan sebagainya. Mereka perlu berdialog dengan semua sekutu dalam BN,” katanya. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan