SPECIAL ADS

7 Jun 2014

Penguasa politik Johor lemah – Tan Sri Muhammad Ali

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor  2014 (LPHJ) yang bakal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Isnin ini turut mendapat kritikan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Muhammad menyifatkan tindakan memberi kuasa undang-undang kepada Sultan Johor untuk mencampuri urusan pentadbiran negeri secara langsung akan mencemarkan kedudukan Sultan dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

“Ia juga akan memburukkan lagi kecelaruan yang berlaku dalam pentadbiran di negeri Johor, yang sejak kebelakangan ini banyak terjejas setelah terdapat campur tangan secara langsung atau tidak langsung Istana Johor.

“Jika dibiarkan, kecelaruan ini pasti merosakkan kepentingan besar rakyat Johor, terutama apabila terdapat campur tangan dalam pentadbiran tanah atau urusan GLC negeri,” ujar beliau.

Menurut Muhammad,  rakyat Johor semakin bimbang melihat tanah dan harta serta perniagaan strategik milik Johor terlepas kepada kepentingan asing atau milik individu terpilih, dengan mengetepikan kepentingan jangka panjang rakyat dan negara.

Beliau yakin kecelaruan ini berpunca daripada kecuaian kepimpinan serta kelemahan tindakan penguasa politik Johor.

“Perkara ini sepatutnya tidak timbul jika penguasa politik negeri proaktif, terlebih dahulu bertindak tegas mempertahankan Perlembagaan negara dan tidak mengkrompomikan status Sultan Johor sebagai Raja Berperlembagaan tanpa kuasa mutlak,” tegas beliau.

Menurut Muhammad, walaupun Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) mengakui mempunyai kuasa mutlak seumpama kuasa Pengerusi Jcorp, ia bukan alasan yang boleh diterima untuk meneruskan RUU LPHJ.

“Pengalaman peribadi saya di JCorp jelas membuktikan kuasa mutlak Menteri Besar selaku Pengerusi Jcorp pernah dikompromikan pemimpin politik negeri.

“Pengerusi Jcorp ketika itu, sekali pun berkuasa eksekutif penuh, gagal atau takut menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepadanya dan lebih berminat mematuhi sepenuhnya apa yang beliau katakan sebagai ‘Titah Sultan Johor’,” jelas beliau.

Sehubungan itu, RUU LPHJ ujarnya adalah cadangan yang tidak dapat diterima rakyat kerana bercanggah dengan Perlembagaan, juga satu duluan (precedent) pentadbiran yang berbahaya kerana ia pasti merosakkan kepentingan besar rakyat dan negara.

Kes duluan ini, ujarnya berpotensi mengancam masa depan JCorp dan agensi negeri kerana apabila kedudukan Raja Berperlembagaan dikompromi, terdapat kemungkinan semua pihak akan tededah tanpa soal kepada campur tangan atau titah perintah istana.

“Rakyat Johor telah banyak menyaksikan keputusan kerajaan kebelakangan ini yang tidak disenangi ramai. RUU LPHJ akan hanya menambahkan kekeruhan situasi di Johor kerana apabila kedudukan Raja Berlembagaan dikompromikan, ia berpotensi lebih merosakkan dan menjejas kepentingan jangka panjang rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia amnya,” tegas beliau. HD

Tiada ulasan: