SPECIAL ADS

24 Jun 2014

Alumni UiTM tuntut ketelusan projek pembinaan kampus

misc_0331_300x200
PETALING JAYA: Alumni UiTM menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan Umno serta Barisan Nasional untuk berlaku telus dalam isu pembinaan 10 buah kampus baru melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) selepas pendedahan yang dilakukan oleh Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan baru-baru ini.
Afif Bahardin, Adun Seberang Jaya berkata, pimpinan Umno sering kali melaung diri mereka sebagai pejuang kepentingan Melayu, namun hakikatnya ini merupakan sandiwara untuk menjalankan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang membarah dan menghantui sistem negara.
“Banyak syarikat konsesi milik  Umno dan Barisan Nasional dipergunakan untuk mengaut keuntungan”, katanya lagi.
“Kali ini lebih memalukan apabila UiTM, satu institusi terulung Bumiputera, dipergunakan.
Afif melahirkan rasa kegusaran terhadap masa depan UiTM kerana dengan bentuk penswastaan ini bakal merugikan kerajaan dalam jangka masa yang panjang.
“Kos penyelenggaraan akan ditanggung oleh pihak UiTM dan akhirnya kos lebihan terpaksa ditanggung oleh siswa-siswi”, katanya semasa sidang media khas di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Terdahulu, melalui jawapan perdana menteri di Parlimen, kos pembinaan sebenar UiTM adalah diantara RM280 juta sehingga RM315 juta.
“UiTM terikat dengan kadar sewaan sekitar RM56 hingga RM69 juta setahun selama 23 tahun. Secara tidak langsung, kosnya meningkat empat kali ganda lebih besar dari kos sebenar.
Reformasi akademik
Beliau yang juga merupakan Exco negeri Pulau Pinang, menuntut supaya Perdana Menteri dan kerajaan mengadakan satu reformasi akademik dan pentadbiran dilakukan.
“Amalan korup di dalam pentadbiran wajib dihapuskan, autonomi universiti dan kebebasan akademik di tegakkan di UiTM.
Ujarnya lagi, amalan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional ini tidak akan membantu warga UiTM untuk terus maju bahkan bakal menghancurkan masa depan universiti dan Bumiputera.
“Sekiranya pembetulan tidak dilakukan dan gagal,  ini terbukti bahawa Umno tidak lagi mewakili kepentingan Bumiputera tetapi lebih mengutamakan kroni dan keluarga semata-mata.
Alumni UiTM Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP di Teluk Intan turut menggesa agar sistem tender terbuka yang telus wajib diperkenalkan terutamanya melibatkan projek kerajaan dan pembelanjaan dana awam.

freemalaysiatoday

Tiada ulasan: