Ahli akademik dari Britain berpandangan kaedah pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti di Malaysia tidak praktikal dalam memastikan sesebuah pilihan raya dapat dijalankan dengan bersih.
Profesor dari Universiti Glasgow, Dr Sarah Birch berkata, apa yang lebih penting badan kehakiman, masyarakat dan media sanggup memantau ketelusan suruhanjaya berkenaan.
"Peranan SPR sebenarnya boleh diambil alih oleh badan kerajaan. Cara pelantikan ahli SPR itu tidak penting tetapi akauntabilitinya.
"Terpulang kepasa badan kehakiman, masyarakat dan media memastikan ketelusan SPR," katanya pada sebuah forum di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur hari ini.
SPR semasa mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dikecam hebat selepas berlaku beberapa kontroversi yang mencetuskan rasa tidak puas hati pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Badan pemerhati pilihan raya, Bersih 2.0 menggesa Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletakkan jawatan selepas isu dakwat kekal dan daftat pemilih masih menjadi tanda tanya.
Birch berkata jika pemimpin sesebuah negara hari ini mahu dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa, mereka harus memastikan pilihan raya dijalankan dengan bersih dan adil.
Katanya, bukan sesuatu luar biasa sistem pilihan raya di sesebuah negara merudum teruk sebelum ia dapat dipulihkan semula.
"Sebagai contoh Mexico, selepas setiap kali pilihan raya, mereka mendakwa berlaku penipuan dan salah laku. Namun selepas sebuah pilihan raya pada 1998, mereka lakukan pembaharuan.
"Kerajaan yang mengamalkan pilihan raya bersih biasanya akan lebih mendapat sokongan. Pertamanya mereka menang, kalah dan akan menang kembali," katanya yang mengundang gelak tawa hadirin.
Bagaimanapun, sarjana Sains Politik itu berkata pembaharuan dalam pilihan raya bukan satu proses yang mudah kerana ia mungkin mendapat tentangan.
"Dalam dunia hari ini, pembaharuan pilihan raya biasanya berlaku selepas berlakunya bantahan besar-besaran terhadap cara ia dijalankan.
"Mereka marah apabila ditipu dan akan pergi ke jalanan membantah proses pilihan raya. Itu yang berlaku pada Revolusi Oren di Ukraine pada 2004 dan di Georgia pada 2003," katanya.
Birch hari ini turut membangkitkan sistem pilihan raya, “first past the post” atau majoriti mudah mampu dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Katanya, melalui sistem itu, sesebuah parti politik boleh kekal berkuasa walaupun dengan sokongan kumpulan minoriti.
"Dengan sedikit undi akan berlaku perubahan. Manipulasi pilihan raya lebih mudah berlaku dengan cara ini," katanya. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan