SPECIAL ADS

9 Julai 2014

Krisis insinerator: Benarkah KUB yang dimiliki Umno tikam Berjaya dari belakang

Syarikat BCorp pada mulanya menolak teknologi insinerator yang mahal dan kurang mesra alam kerana percaya ia bukan jalan penyelesaian bagi masalah sampah dalam negara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 Julai, 2014.
Berjaya Corporation (BCorp) berang dengan syarikat milik Umno, KUB yang menandatangani perjanjian membina insinerator di bandar-bandar utama dengan syarikat Jepun, IHI Enviro, meskipun dalam masa yang sama berusahasama dengannya dalam menguruskan tapak pelupusan sampah 1,700ha di Bukit Tagar, Selangor.
Perjanjian insinerator tersebut kemungkinan akan mengganggu kemasukan sisa buangan kepada tapak pelupusan KUB Berjaya Enviro di negeri paling kaya dalam negara itu di mana BCorp mempunyai saham 60% dalam usahasama tersebut.
The Malaysian Insider difahamkan bahawa BCorp menyuarakan kebimbangan mereka kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menjadi saksi kepada majlis menandatangani  perjanjian dengan KUB itu.
Namun sumber mengatakan menteri itu mengarahkan BCorp supaya tidak berkata apa-apa jika mahu mengekalkan konsesi mereka.
Mereka berkata BCorp meradang tentang langkah unilateral KUB, kerana syarikat Jepun tersebut pada mulanya menawarkan perjanjian insinerator itu kepada mereka (Bcorp).
Namun mereka menolak teknologi insinerator tersebut untuk melindungi konsesi 30 tahun bagi pusat pelupusan sampah Bukit Tagar, kerana percaya insinerator bukanlah jalan penyelesaian bagi masalah sampah di Malaysia.
Konsesi tersebut, yang ditandatangani 9 tahun selepas dicadangkan Majlis Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai proksi pihak kerajaan tidak mempunyai klausa yang menjamin sisa buangan akan terus ke Bukit Tagar.
Penangguhan tandatangannya disebabkan BCorp meminta jaminan klausa sisa buangan, dan kini jika insinerator-insinerator dibina, tapak pelupusan tersebut akan kehilangan lebih dari 50% sisa buangannya.
Ini bermakna keuntungan mereka akan berkurangan kerana mereka dibayar kerajaan bagi setiap tan sisa buangan yang dimasukkan dalam tapak tersebut.
Sekitar masa yang sama BCorp dianugerahkan konsesi untuk menguruskan tapak pelupusan sampah pada 2003, sebaik selepas kekecohan  insinerator Broga, perdana menteri berkata insinerator bukanlah sesuatu yang diperlukan Malaysia kerana modal dan kos penyelenggaraannya yang tinggi.
"Kajian menunjukkan sistem insinerator Broga yang akan memakan kos RM1.5 bilion itu terlalu mahal. Ia juga amat mahal untuk diselenggara. Tiada majlis daerah atau perbandaran akan boleh mampu menguruskannya," Najib dilaporkan berkata ketika itu.
(Kerajaan membatalkan insinerator RM1.5 bilion di Broga selepas rakyat memenangi kes itu di mahkamah, dan kerajaan terpaksa membayar pampasan jutaan ringgit kepada syarikat Jepun tersebut.)
Bagaimanapun, hanya sebulan selepas KUB menandatangani perjanjian tersebut dengan syarikat Jepun itu, BCorp dilaporkan bimbang imejnya akan terjejas.
Kumpulan Berjaya mempunyai rangkaian  perniagaan daripada hotel lima bintang ke akhbar, malah francais donat.
Sumber dalaman BCorp berkata syarikat itu berkeyakinan penuh tapak pelupusan sampah tersebut adalah penyelesaian paling baik untuk pengurusan sisa buangan di Malaysia, dan insinerator bukan sahaja kurang mesra alam, ia juga tidak sesuai untuk sisa buangan basah dan sisa belum diasingkan.
Berjaya-KUB Enviro juga menguruskan tapak pelupusan sampah yang besar di China.
"Kami mempunyai konsesi 30 tahun yang ditandatangani kerajaan melalui DBKL. Ia lebih murah, mesra alam dan boleh bertahan untuk 70 tahun bagi sisa buangan Lembah Klang dan Selangor. Jika sisa buangan diasingkan, ia boleh bertahan lebih daripada 70 tahun," kata sumber tersebut.
Abdul Rahman dilaporkan berkata insinerator adalah jalan penyelesaiannya dan menolak secara terbuka pendapat mereka yang menentang insinerator.
Insinerator pertama akan dibina di tapak Stesen Pemindahan Sisa Kepong berkapasiti 1,000 tan dan akan memakan kos antara RM800 juta hingga RM1.2 bilion.
Keseluruhan siri pertama dianggarkan akan berkos hampir RM5 bilion.
Penduduk di sekitar Kepong menentang keras insinerator tersebut kerana pelepasan dioxin di udara serta membazir wang cukai rakyat.
Sehingga kini, terdapat 4 insinerator dalam negara – di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Cameron Highlands.
Jabatan Ketua Audit tahun lepas mendedahkan pembaziran RM199 juta yang dibelanjakan untuk pembinaan 4 insinerator mini oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di bawah kementerian Abdul Rahman, kerana ketiadaan kemahiran tempatan untuk menguruskan mesin-mesin tersebut apabila dibina. TMI

Tiada ulasan: