SPECIAL ADS

18 Julai 2014

Nenek tiri Najib dan Hishamuddin antara yang terkorban di Ukraine

Portal Mstar melaporkan hari ini nenek tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein merupakan salah seorang yang terkorban dalam nahas MH17 semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 18 Julai, 2014.
Salah seorang ‎daripada 289 penumpang pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh oleh kumpulan pro-Rusia lalu terhempas di Ukraine mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, lapor portal Mstar hari ini.
Menurut portal itu yang memetik daripada sumber rapat keluarga pemimpin itu, penumpang itu dikenal pasti sebagai nenek tiri Najib dan Hishamuddin.
Sumber itu berkata lagi, kedua-dua pemimpin itu juga mengetahui tentang berita tersebut.
Kata sumber itu, ibu tiri kedua pemimpin itu yang dikenali sebagai Puan Sri Siti Amirah Prawira Kusama merupakan isteri kedua kepada datuk kepada Najib dan Hishamuddin iaitu Tan Sri Mohd Noah.
Mohd Noah merupakan bapa kepada ibu Najib, Tun Raha dan ibu Hishammuddin, Tun Suhaila.
Berita mengenai insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777 yang ditembak jatuh dari udara‎ begitu menggemparkan masyarakat sedunia, tambahan pula ia berlaku dalam tempoh empat bulan kapal MH370 hilang dari radar pada awal Mac lalu.
Pesawat malang itu dikatakan terbang 300 meter di atas kawasan larangan apabila ditembak kumpulan pemberontak di timur Ukraine, mengorbankan nyawa kesemua penumpang dan anak kapal.
Pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6.10 pagi tadi, namun terhempas berhampiran bandar Donetsk dengan serpihannya ditemui sejauh lingkungan jarak 15km
Susulan daripada tragedi ini, kerajaan Belanda mengarahkan bendera negara itu dikibarkan separuh tiang di seluruh bangunan kerajaan.
Lapor Reuters, sekurang-kurangya seramai 154 rakyat Belanda terlibat dalam nahas udara itu.
MAS dalam kenyataan terbarunya sebentar tadi berkata ‎Pesawat B777-200 dengan nombor pendaftaran 9M-MRD mempunyai rekod penyelenggaraan yang bersih.
"Kali terakhir pemeriksaan dibuat ialah pada 11 Julai lepas. Pemeriksaan berikutnya dijadualkan pada 27 Ogos akan datang.
"Kerja penyelenggaraan dilakukan di hangar Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia berada dalam keadaan baik," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan MAS pada pukul 1.30 petang ini. TMI

Tiada ulasan: