SPECIAL ADS

16 Julai 2014

Khalid : Pegang MB Selangor Hingga Akhir Penggal

Menteri Besar Selango Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bercakap pada sidang media di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 16 Julai, 2014.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas tidak akan berundur daripada kedudukannya walaupun menerima tekanan hebat daripada Pakatan Rakyat.
Katanya, beliau hanya akan berundur selepas habis penggal Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Saya dah nyatakan yang akan kekal hingga habis penggal.
"Sebagaimana yang saya janjikan, saya ambil tanggungjawab ini untuk tadbir Selangor sampai PRU akan datang," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Majlis Presiden Pakatan Rakyat dijangka akan membincangkan kedudukan Khalid dalam mesyuarat sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Difahamkan dalam mesyuarat itu nanti, PAS akan membawa ketetapan tidak bersama dengan PKR dan DAP supaya Khalid digugurkan.
Kedatangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke kediaman peribadi Khalid selepas keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) pada malam Sabtu lalu juga dikatakan membawa mesej PAS berdiri menyokong kedudukan Khalid.
Namun, Setiausaha PAS Datuk Mustafa Ali dalam sidang media kelmarin berkata ia hanya pertemuan biasa dan tidak membincangkan isu menteri besar.
Sementara itu, Khalid dalam sidang media hari ini turut mengumumkan pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang melibatkan kos RM2 bilion dan dijangka siap pada Julai 2016.
Jambatan kontroversi sepanjang 2.5 kilometer itu merupakan projek asal Barisan Nasional (BN) apabila majlis pecah tanah diadakan pada 4 Mac 2008, iaitu empat hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) diadakan dan terbengkalai sehingga kini.
"Kerajaan negeri berharap rakyat Selangor, khususnya penduduk Lembah Klang bersabar menantikan projek ini disiapkan kerana ia akan memudahkan perjalanan ke Shah Alam dan Kuala Lumpur tanpa perlu melalui bandar Klang," katanya. TMI

Tiada ulasan: